SHAH ALAM – Rasa tidak puas hati yang dipendam dipercayai menjadi punca seorang pelajar perempuan bertindak menikam pelajar lain di sebuah sekolah menengah di Banting pada 6 Julai lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar bagaimanapun berkata, siasatan awal tidak menemukan elemen yang menjurus kepada berlaku aktiviti buli.
“Hasil siasatan awal pada peringkat ini mendapati alasan yang diberikan suspek berkaitan rasa tidak puas hati atau perasaan yang dipendam terhadap beberapa individu yang didakwanya membuli suspek.
“Bagaimanapun berdasarkan keterangan yang diperoleh setakat ini, siasatan tidak menjurus kepada berlakunya kejadian buli seperti didakwa.
“Justeru, saya meminta semua pihak memberi ruang kepada polis untuk melengkapkan siasatan sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
“Hasil maklumat yang diperoleh dan siasatan yang dijalankan, pihak polis mengesahkan ada menerima satu kad berkaitan Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan kategori autisme di atas nama suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Menurut Shazeli, siasatan turut mengambil kira pelbagai aspek termasuk latar belakang suspek, keadaan kesihatan mental serta media sosial yang dipercayai boleh mempengaruhi pemikiran dan tingkah lakunya.
Tambah beliau, senjata yang digunakan dalam kejadian itu dipercayai dibeli secara dalam talian sebelum dibawa ke sekolah di dalam beg galas.
“Siasatan mendapati suspek memasuki kawasan sekolah ketika pagar utama dibuka dan mengambil peluang untuk masuk ke dalam premis.
“Suspek juga datang ke sekolah dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing Grab,” jelasnya.
Menurut Shazeli, suspek turut didapati sudah hampir lapan bulan tidak menghadiri sesi persekolahan secara fizikal sebaliknya mengikuti pembelajaran di rumah (homeschooling) berikutan masalah kesihatan.
Mengulas keadaan mangsa, beliau berkata, mangsa kini dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di hospital dan sedang menjalani proses pemulihan.
Katanya, rakaman percakapan mangsa serta individu yang dikenal pasti berkaitan kes itu telah diambil bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan sama, polis akan memohon sambungan reman terhadap suspek sebaik tempoh reman pertama berakhir bagi membolehkan siasatan diteruskan.
Mengulas aspek keselamatan sekolah, Shazeli menegaskan, rondaan dan kunjungan polis ke sekolah di seluruh Selangor sentiasa dipertingkatkan menerusi penugasan pegawai perhubungan sekolah, kereta peronda serta anggota dari balai polis.
Beliau berkata, dakwaan berlaku pengurangan rondaan adalah tidak tepat kerana pemantauan dan lawatan pihak polis ke sekolah kini dilaksanakan pada tahap lebih baik berbanding tempoh sebelumnya selaras dengan arahan Ketua Polis Negara. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Tikam pelajar Banting: Suspek ditahan, mangsa kini stabil di Hospital Banting
















