KUALA LUMPUR – Kerajaan bakal mempunyai kuasa lebih besar untuk campur tangan dalam pasaran padi dan beras menerusi pindaan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras menetapkan harga maksimum atau minimum bagi komoditi berkenaan.
Peruntukan baharu itu merupakan antara perubahan penting dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, pindaan berkenaan bertujuan memperkukuhkan mekanisme kawal selia industri padi dan beras negara, selain membolehkan tindakan intervensi dilaksanakan dengan lebih pantas sekiranya berlaku tekanan pasaran yang boleh menjejaskan pengguna serta pesawah.
Menurut beliau, kuasa tersebut penting bagi memastikan kestabilan harga beras sentiasa terpelihara dalam keadaan pasaran global yang semakin mencabar akibat perubahan iklim, ketidaktentuan geopolitik serta peningkatan kos sara hidup.
“Pindaan ini memberikan kuasa khusus kepada Ketua Pengarah, tertakluk kepada kelulusan Menteri terlebih dahulu, untuk menguatkuasakan harga maksimum atau minimum bagi padi atau beras.
“Pindaan substantif ini amat penting sebagai langkah intervensi pantas bagi mengekang sebarang manipulasi harga di pasaran yang boleh menjejaskan kebajikan pesawah mahupun pengguna,” katanya ketika membentangkan pindaan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua, hari ini.
Sebelum ini, RUU Akta Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa, dengan cadangan memperluaskan kuasa penetapan harga padi dan beras dan menaikkan penalti sehingga RM1 juta terhadap pihak yang melanggar peruntukan itu.
Menurut naskhah biru yang dimuat naik di portal rasmi Parlimen, pindaan terhadap Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) melibatkan lima fasal utama.
Antara cadangan utama ialah pindaan Seksyen 22 menerusi Fasal 3 yang meningkatkan kadar penalti bagi kesalahan di bawah akta itu atau mana-mana peraturan yang tidak mempunyai hukuman khusus.
Dalam pada itu, Foong Hin berkata, kerajaan melihat isu keterjaminan makanan khususnya bekalan padi dan beras sebagai perkara strategik negara yang tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada mekanisme pasaran semata-mata.
Katanya, pindaan itu juga selari dengan keperluan semasa selepas industri padi dan beras berdepan pelbagai cabaran termasuk gangguan rantaian bekalan serta perubahan dinamik perdagangan global.
Selain kuasa kawalan harga, RUU berkenaan turut memberi peluasan kuasa kepada Menteri untuk menetapkan gred beras, kawalan harga bagi beras bergred serta mengawal pergerakan fizikal padi atau beras bagi menangani aktiviti penyorokan dan penyeludupan.
Dalam masa sama, kerajaan turut memperketatkan tindakan terhadap pihak yang melanggar peraturan apabila kadar denda am dinaikkan secara signifikan.
Bagi individu, denda maksimum dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM250,000, manakala kesalahan berulang meningkat daripada RM25,000 kepada RM500,000.
Bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan pula, kadar denda dinaikkan daripada RM25,000 kepada RM500,000, manakala kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta.
Timbalan Menteri berkata, langkah itu menunjukkan komitmen kerajaan memastikan tiada pihak mengambil kesempatan sehingga menjejaskan kestabilan bekalan makanan ruji rakyat.
“Kerajaan menghantar isyarat jelas bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat kestabilan bekalan makanan demi mengaut keuntungan peribadi,” katanya.
RUU Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 itu kini dibentangkan untuk perbahasan Ahli Parlimen sebelum diputuskan dalam Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette
















