SIMPANG RENGGAM – Semua 16 calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diketengahkan memiliki kelayakan dan kredibiliti yang tinggi untuk menjadi Menteri Besar Johor, kata Setiausaha agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata, parti itu menampilkan barisan tokoh yang mempunyai latar belakang pendidikan dan pengalaman politik yang luas sekali gus meletakkan mereka dalam kedudukan yang sangat layak sekiranya diberi mandat.
“Tokoh-tokoh yang ditonjolkan bagi saya sangat layak.
“Sebagai contoh, Abdul Mutalip Abd Rahim (calon DUN Layang-Layang) merupakan lulusan daripada Universiti al-Azhar dan mempunyai pengalaman yang agak lama dalam politik.
“Begitu juga calon di Parit Raja dan Bukit Naning. Ramai yang berkelayakan tetapi kita mesti menang dalam pilihan raya terlebih dahulu sebelum kita nak putuskan soal itu,” katanya ketika hadir program Ceramah Rapat Rakyat Layang-Layang di sini malam tadi.
Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, fokus utama Perikatan Nasional (PN) ketika ini adalah untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
“Sebarang pelantikan akhirnya perlu mengikut saluran perundangan yang betul serta menghormati institusi diraja Johor.
“Akhirnya, kita kena rujuk Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.
“Keputusan atau cadangan itu mesti diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong atau Sultan Johor untuk mendapat perkenan kerana itu adalah Perlembagaan yang perlu kita junjung dan hormati,” katanya lagi.
Mengulas mengenai sasaran kemenangan, Mohamed Azmin berkata, Bersatu bersikap realistik dan tidak tamak dalam pembahagian kerusi dengan meletakkan sasaran untuk memenangi kesemua 16 kerusi yang ditandingi mereka.
“Kita tidak gelojoh atau tamak untuk bertanding banyak kerusi.
“Bila menentukan jumlah, mestilah ada strategi dan pelan strategik. Berdasarkan statistik daripada PRN lalu dan pilihan raya umum lalu, kita melihat ada lonjakan sokongan yang sangat signifikan untuk Bersatu.
“Lagi pun kita bertanding sebagai underdog,” katanya.
Secara keseluruhan, PN bertanding di 33 kerusi DUN dan optimis mampu membentuk kerajaan negeri jika mendapat sokongan padu daripada rakyat.
Bersatu juga ada menjalinkan kerjasama strategik dengan parti lain seperti parti MUDA.
Untuk rekod, sebanyak 29 kerusi diperlukan bagi membentuk majoriti mudah untuk Dewan Undangan Negeri Johor. – MalaysiaGazette
















