KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan menarik balik syarat caruman mandatori Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) mengundang persoalan mengenai ‘nasib’ kira-kira RM270 juta yang didakwa telah dikutip sebelum pelaksanaan dasar itu diubah.
Penulis politik Eric See-To mendakwa, keputusan terbaharu itu membuktikan kerajaan menyedari dasar berkenaan tidak wajar dilaksanakan sejak awal.
“Madani sudah umum skim Perkeso Lindung 24 Jam tidak lagi mandatori. Bagus. Bila rakyat bising, baru mereka tahu U-turn. Tetapi, anggaran RM270 juta yang sudah dikutip secara paksa itu bagaimana?,” soal beliau.
Beliau mendakwa manfaat yang dibayar di bawah skim itu sepanjang bulan pertama pelaksanaannya hanya sekitar RM1.2 juta, jauh lebih rendah berbanding kutipan yang dianggarkannya mencecah RM270 juta.
Sehubungan itu, Eric mempersoalkan sama ada kerajaan akan memulangkan semula wang yang telah dikutip daripada pekerja dan majikan atau wang tersebut akan terus kekal dalam dana berkenaan.
“Mereka mengumumkan skim ini tidak lagi mandatori. Ini bermaksud kerajaan sendiri sedar dasar ini memang salah dari awal.
“Masalahnya, rakyat sudah pun menjadi mangsa kepada dasar yang salah itu,” menurut kenyataan tersebut.
Beliau mendakwa keputusan kerajaan membuat pusingan U terhadap pelaksanaan skim itu dibuat selepas menerima bantahan daripada orang ramai.
Semalam, Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja bagi Lindung 24 Jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak lagi bersifat mandatori.
Sebaliknya, caruman skim itu dilaksanakan secara sukarela dan berkuat kuasa serta-merta.
Baru-baru ini Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkata, pihaknya sudah menyalurkan faedah berjumlah lebih RM1.2 juta kepada Orang Berinsurans (OB) di bawah Lindung 24 jam dalam tempoh sebulan ia dikuatkuasakan.
Dalam tempoh itu juga, sebanyak 592 permohonan kes diterima.
Menurut Perkeso, dalam tempoh sebulan, jumlah tertinggi pembayaran faedah menerusi skim tersebut melibatkan kos implan iaitu sebanyak RM1.16 juta, diikuti Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) berjumlah RM99,269.
“Secara purata, hampir 20 kes sehari direkodkan di bawah Lindung 24 Jam, sekali gus menjadi manifestasi usaha Perkeso bagi menutup kelompangan perlindungan sosial yang ada di Malaysia. Jika dulu, insiden di luar waktu kerja tidak dilindungi tapi dengan Lindung 24 Jam, situasi kini berubah,” kata Perkeso. – MalaysiaGazette
Caruman Lindung 24 bukan lagi mandatori, umur pencen kekal 60 tahun
















