Tinjauan MalaysiaGazette mengenai isu kesesakan Klinik Kesihatan Kempas, Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Kesesakan di Klinik Kesihatan Kempas di sini didakwa memaksa pesakit menunggu antara satu hingga dua jam untuk mendapatkan rawatan menjadi antara keluhan utama penduduk menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Penduduk mendakwa, pertambahan pesat populasi di kawasan Kempas menyebabkan kemudahan kesihatan sedia ada tidak lagi mampu menampung keperluan lebih 100,000 penduduk sekali gus menuntut tindakan segera kerajaan untuk menaik taraf atau membina klinik baharu yang lebih besar.

Tinjauan MalaysiaGazette di Klinik Kesihatan Kempas mendapati keadaan sesak berlaku terutama pada waktu puncak sebelah pagi apabila pesakit memenuhi ruang menunggu seawal klinik dibuka.

Penduduk, Khamis Taib ditemubual di Klinik Kesihatan Kempas, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 08 JULAI 2026.

Menurut seorang pesara, Khamis Taib, 78, dia terpaksa menunggu lebih sejam sebelum menerima rawatan setiap kali mendapatkan perkhidmatan di klinik berkenaan.

Jelasnya, keadaan itu memberi cabaran kepada warga emas yang mempunyai masalah pergerakan dan memerlukan kemudahan lebih mesra pengguna.

“Saya tunggu lebih kurang satu jam. Memang lama. Kalau doktor ditambah lagi bagus. Kalau boleh tunggu 10 hingga 15 minit sahaja, itu lebih baik.

“Saya orang kampung, saya tak kisah sangat, tetapi kesian kepada warga emas lain yang datang bertongkat. Kalau ramai sangat memang lama menunggu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, pada Rabu.

Penduduk, Qaira Sofia Abd Rafiq, 32, bercakap ketika ditemubual di Klinik Kesihatan Kempas, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 08 JULAI 2026.

Bagi seorang penduduk, Qaira Sofia Abd. Rafiq, 32, kesesakan paling ketara berlaku antara pukul 9 hingga 11 pagi dengan tempoh menunggu mencecah dua jam bergantung kepada jumlah pesakit.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan ramai pekerja terpaksa mengambil cuti hanya untuk mendapatkan rawatan di klinik kerajaan.

“Kalau datang ke sini memang kena ambil cuti sebab tempoh menunggu lama. Kadang-kadang kalau sakit tak terlalu serius, ada yang pilih pergi klinik panel kerana lebih cepat.

“Kita faham doktor dan jururawat pun tak cukup. Jadi bukan salah mereka semata-mata. Yang penting sistem perlu dipercepatkan dan bilangan doktor serta jururawat perlu ditambah,” katanya.

Qaira Sofia bagaimanapun memuji sistem saringan kecemasan di klinik tersebut yang menurutnya memberi keutamaan kepada pesakit yang mengalami demam panas atau kes kritikal.

Penduduk, Nurul Hidayah Enoh, 37, becakap ketika ditemubual di Klinik Kesihatan Kempas, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 08 JULAI 2026.

Dalam pada itu, Nurul Hidayah Enoh, 37, pula berkata, kesesakan di Klinik Kesihatan Kempas bukan lagi perkara baharu kerana jumlah pesakit yang hadir setiap hari semakin meningkat.

Menurut peniaga makanan itu, pesakit sanggup hadir seawal pukul 7.30 pagi bagi mendapatkan nombor giliran kerana bimbang terpaksa menunggu lebih lama.

“Kalau datang awal pun kadang-kadang kena tunggu kira-kira sejam sebelum dipanggil. Hari-hari memang ramai orang.

“Kawasan parkir pun terhad. Nak besarkan klinik mungkin susah sebab ruang dah tak banyak. Sebab itu saya rasa Kempas memang perlukan klinik baharu yang lebih besar,” katanya.

Katanya, pembinaan kemudahan kesihatan baharu perlu dirancang seiring dengan pembangunan pesat kawasan Kempas yang menyaksikan pertumbuhan kawasan perumahan dan pertambahan penduduk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Nurul Hidayah turut berharap wakil rakyat yang dipilih pada PRN kali ini menjadikan isu kemudahan kesihatan sebagai antara agenda utama untuk diperjuangkan.

“Siapa pun yang menang nanti, jangan lupa penduduk. Dengarlah masalah rakyat dan cuba selesaikan perkara yang memang kami hadapi setiap hari,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast