Ahmad Zahid Hamidi ketika berdialog dalam program Apa Khabar Siswa? di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), di Pasir Gudang hari ini. - Ihsan Facebook Politeknik Ibrahim Sultan

PASIR GUDANG – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa golongan muda membuat pilihan yang tepat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Sabtu ini.

Jelas Timbalan Perdana Menteri, ini kerana keputusan mereka bakal menjadi penentu landskap politik dan hala tuju masa depan negeri itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu memberitahu, secara purata kira-kira 51.5 peratus pengundi di Johor terdiri daripada mereka yang berusia 40 tahun ke bawah, termasuk pengundi berusia 18 tahun serta pengundi kali pertama.

“Secara purata 51.5 peratus adalah anak-anak muda yang berumur 40 tahun ke bawah. Mereka menjadi pengundi penentu. Pilihlah pemimpin muda yang boleh memimpin Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Program Apa Khabar Siswa? di Johor di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata, golongan muda tidak semestinya perlu menceburi politik secara aktif.

Namun katanya golongan itu perlu mengambil tahu perkembangan politik negara kerana setiap undi mampu menentukan hala tuju kepimpinan negeri dan negara.

“Pengundi 18 tahun dan pengundi kali pertama tidak perlu terlibat dalam politik. Kalau mahu terlibat, boleh. Saya sendiri mula aktif dalam politik ketika menjadi pemimpin pelajar di Universiti Malaya (UM).

“Yang penting, anak-anak muda mesti mengambil tahu tentang politik walaupun tidak mahu terlibat. Jangan sia-siakan peluang mengundi kerana undi penentu itu penting untuk menentukan jatuh bangunnya sesebuah organisasi politik,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast