Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.

PUTRAJAYA – Seramai 11 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan rasuah.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban yang mengesahkan perkara itu berkata, kesemua individu yang terlibat akan direhatkan daripada tugas mereka sehingga siasatan selesai.

Katanya, ini bagi memastikan pegawai terbabit tidak lagi terlibat dalam sebarang urusan rasmi atau aktiviti yang boleh menjejaskan proses siasatan yang sedang dijalankan.

“Kes berkenaan melibatkan tangkapan yang dibuat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan kerana pegawai ini berada di banyak lokasi.

“Saya mengesahkan tangkapan melibatkan 11 pegawai imigresen dan kita akan menunggu pihak SPRM menyelesaikan siasatan sebelum tindakan lanjut diambil.

“Cuba saya ingin tegaskan, kita tidak akan berkompromi soal salah laku yang dilakukan pegawai Imigresen dalam masa bersubahan dan bersongkokil dengan pihak lain untuk kepentingan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Jalinan Strategik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama media di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya akan terus bekerjasama dengan SPRM serta agensi penguat kuasa lain dalam usaha memperkukuhkan ketelusan dan integriti dalam JIM.

“Kita tidak akan melindungi mana-mana pegawai tanpa mengira pangkat sama ada pegawai kanan atau pegawai bawahan. Jika mereka didapati melakukan kesalahan, tindakan yang sama akan diambil.

“Kita memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu memperkukuhkan integriti penguatkuasaan, meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan serta memperkasakan integriti pegawai,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zakaria turut memaklumkan seramai 834 pegawai imigresen telah dikenakan pelbagai tindakan tatatertib dan hukuman berdasarkan rekod sejak 2023 hingga tahun ini.

“Daripada jumlah itu seramai 69 daripada mereka telah dibuang kerja, ia satu jumlah yang besar.

Manakala seramai 81 pegawai telah dikenakan tindakan tatatertib dan daripada jumlah itu, 14 pegawai telah dibuang kerja.

“Ini menunjukkan kesungguhan kita dalam menangani isu integriti dalam kalangan pegawai dan kakitangan imigresen,” ujarnya.

Semalam media melaporkan, SPRM telah menahan 33 individu termasuk pegawai penguat kuasa dan penjawat awam kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

Kesemua suspek dipercayai terlibat kesalahan termasuk membenarkan warga asing berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah selain menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja antara tahun 2021 hingga 2026.

Ia membabitkan kesalahan melindungi warga asing tanpa dokumen perjalanan sah, penyalahgunaan pas lawatan sosial untuk bekerja, serta mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi permohonan kuota pekerja asing.

Menurut sumber, penahanan itu dilakukan hasil operasi bersepadu bermula kelmarin hasil risikan sejak Jun tahun lalu oleh Bahagian Perisikan dan SPRM empat negeri.

Tindakan itu susulan operasi bersepadu yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM bersama SPRM negeri menerusi Op Layer di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Op Dalang di Selangor, Op Raider di Negeri Sembilan dan Op Genuine di Melaka.

Di Putrajaya, Mahkamah Majistret mengeluarkan perintah reman selama lima hari sehingga 13 Julai terhadap enam suspek bagi membantu siasatan.

Di Shah Alam pula, Mahkamah Majistret membenarkan kesemua 14 suspek direman selama empat hari sehingga 12 Julai bermula hari ini.

Sementara itu, di Seremban, mahkamah mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap lima suspek, lima hari terhadap dua lagi suspek manakala dua individu lain direman sehari bagi membantu siasatan.

Di Melaka, empat suspek direman selama tujuh hari sehingga 15 Julai selepas perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Kesemua suspek terdiri daripada 25 lelaki dan lapan wanita berusia antara lingkungan 20 hingga 50-an yang ditahan antara jam 10 pagi hingga 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di empat pejabat SPRM terlibat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast