PUTRAJAYA – Seramai 36,900 warga asing ditahan Jabatan Imigresen (JIM) menerusi operasi penguatkuasaan dalam membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) yang direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, jumlah itu adalah hasil 6,237 operasi penguatkuasaan yang dipertingkatkan di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun lalu.
“Dalam tempoh itu, seramai 84,464 individu telah diperiksa dan 978 majikan turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.
“Bagi bulan Jun sahaja, Imigresen telah melaksanakan 1,154 operasi di seluruh negara melibatkan pemeriksaan terhadap 13,078 individu.
“Daripada jumlah itu, seramai 4,093 warga asing telah ditahan, manakala 133 majikan turut ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan imigresen,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Jalinan Strategik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama media di sini hari ini.
Mengenai kesalahan paling banyak dikesan dalam kalangan warga asing yang ditahan, beliau berkata tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah paling tinggi, dan kesalahan salah guna pas yang dikeluarkan.
Mengulas isu pelarian Rohingya yang kembali menjadi perhatian, Zakaria berkata, pihaknya akan meneruskan operasi penguatkuasaan seperti biasa, namun tindakan imigresen bergantung kepada status dokumentasi individu terbabit.
“Kebanyakan pelarian Rohingya di negara ini memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), justeru mereka tidak boleh dikenakan tindakan atas kesalahan imigresen seperti tiada pas atau tinggal lebih masa.
“Bagaimanapun, mereka tetap tertakluk kepada undang-undang lain. Jika melakukan kesalahan jenayah atau melanggar undang-undang lain, tindakan tetap boleh diambil oleh agensi penguat kuasa berkaitan.
“Sekiranya mereka menjalankan aktiviti seperti berniaga secara haram di tepi jalan, JIM akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi lain untuk menjalankan operasi penguatkuasaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















