Calon PH N.37 Johor Lama, Danish Hossman Abd Rahman ketika temubual bersama MalaysiaGazette sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 di Kota Tinggi, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 09 JULAI 2026.

JOHOR LAMA – Isu tuntutan geran tanah dan kekurangan rumah untuk generasi kedua Felda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama didakwa masih belum diselesaikan sejak 2018.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN N.37 Johor Lama, Danish Hossman Abd. Rahman berkata, penyelesaian isu membabitkan generasi kedua Felda akan menjadi antara keutamaan beliau sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurutnya, sepanjang tempoh berkempen, ramai penduduk Felda meluahkan rasa kecewa dengan kelewatan penyelesaian isu berkenaan.

“Ada penduduk mendakwa mereka telah membuat bayaran bagi permohonan geran tanah, namun sehingga kini masih tiada tindakan daripada wakil rakyat sebelum ini.

“Selain itu, kekurangan projek perumahan di kawasan Felda menyebabkan ramai anak muda terpaksa berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki dan membina kehidupan bersama keluarga,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata, penyelesaian isu perumahan serta geran tanah generasi kedua Felda turut dimasukkan sebagai antara manifesto utama beliau sekiranya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama.

“Usaha ini juga selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menyelesaikan isu berkenaan.

“Kalau boleh, isu yang sudah berlarutan dari 2018 sehingga ke hari ini ada penyelesaiannya,” katanya lagi.

Calon PH N.37 Johor Lama, Danish Hossman Abd Rahman ketika temubual bersama MalaysiaGazette sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 di Kota Tinggi, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 09 JULAI 2026.

Danish berkata, kelewatan menyelesaikan isu itu menyebabkan ramai penduduk semakin hilang keyakinan.

“Sebahagian mereka marah dan ada yang kecewa. Sebab itu, jika diberi amanah, kita perlu memahami tanggungjawab serta menggunakan kuasa yang ada untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Kita tidak boleh sekadar menang pilihan raya, kemudian gagal menunaikan janji atau hanya menjanjikan bulan dan bintang. Sebagai ADUN, keutamaan kita ialah menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat,” katanya.

Untuk rekod, Danish Hossman merupakan calon termuda untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ini.

Pada PRN Johor kali ini, kerusi DUN N37 Johor Lama menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila Danish akan menentang penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Norlizah Noh, serta calon Perikatan Nasional (PN), Aisah Esa.

Kawasan ini mempunyai seramai 32,716 pemilih berdaftar dengan majoriti pengundi adalah kaum Melayu iaitu sebanyak 82.8 peratus, diikuti Cina 12.8 peratus, India 2.5 peratus dan lain-lain kaum 1.9 peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian bagi PRN Johor ke-16 ini jatuh pada Sabtu, 11 Julai 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast