Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman untuk menjalankan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika tinjauan di Larkin Sentral, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 10 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Jarak perjalanan dan komitmen kerja bukan alasan bagi sebahagian pengundi untuk mengabaikan tanggungjawab mereka apabila tiba hari mengundi khususnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Malah ramai anak kelahiran Johor sanggup pulang ke kampung halaman bagi memastikan suara mereka diterjemahkan melalui peti undi.

Tinjauan MalaysiaGazette di Terminal Bas Larkin Sentral di sini mendapati suasana menjelang hari pengundian mula dipenuhi perantau yang pulang dari luar daerah dan luar negara, termasuk dari Singapura.

Pengundi, Moly Koh, 72, bercakap ketika ditemubual sebelum pulang ke kampung halaman untuk menjalankan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika tinjauan di Larkin Sentral, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 10 JULAI 2026.

Bagi Moly Koh, 72, yang bekerja di Singapura, pulang mengundi bukan sekadar memenuhi hak sebagai warganegara, sebaliknya dianggap sebagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan tanpa mengira kesukaran perjalanan.

Menurutnya, dia tidak pernah menjadikan jarak atau faktor lain sebagai alasan untuk tidak mengundi.

“Mesti balik. Mengundi tetap kena mengundi. Saya kena laksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk memilih pemimpin,” katanya ketika ditemui di terminal berkenaan, di sini, hari ini.

Koh berkata, setiap individu mempunyai hak membuat pilihan sendiri.

“Saya berharap lebih ramai rakyat Johor tampil menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian,” katanya.

Pelajar, Nurul Nasrin Shahrunizam, 19, bercakap ketika ditemubual sebelum pulang ke kampung halaman untuk menjalankan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika tinjauan di Larkin Sentral, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 10 JULAI 2026.

Sementara itu, seorang pelajar, Nurul Nasrin Shahrunizam, 19, mengakui sedikit gementar kerana bakal melalui pengalaman mengundi buat kali pertama.

Katanya, sebelum pulang ke kampung, dia sempat berbincang dengan ahli keluarga bagi mendapatkan pandangan mengenai proses pilihan raya dan calon yang bertanding.

“Memang ada rasa berdebar sebab pertama kali nak mengundi. Saya ada bertanya kepada keluarga mengenai proses mengundi dan siapa yang mereka pilih, tetapi akhirnya saya akan buat keputusan sendiri.

“Saya banyak belajar tentang proses pilihan raya dan saya rasa media turut memainkan peranan menaikkan semangat golongan belia supaya keluar mengundi sebagai satu tanggungjawab,” katanya.

Nurul Nasrin berharap lebih ramai anak muda tampil mengundi dan membuat pilihan yang terbaik demi masa depan negeri serta negara.

“Saya harap semua belia keluar mengundi dan kerajaan yang dipilih nanti dapat membawa perubahan yang lebih baik pada masa depan,” ujarnya.

Pelajar, Nur Wardina Kamarul Azami, 19, bercakap ketika ditemubual sebelum pulang ke kampung halaman untuk menjalankan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika tinjauan di Larkin Sentral, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 10 JULAI 2026.

Bagi seorang lagi pelajar, Nur Wardina Kamarul Azami, perjalanan pulang ke kampung sempena pilihan raya dianggap sebagai sesuatu yang perlu dilakukan kerana tanggungjawab mengundi tidak boleh dipandang ringan.

Menurutnya, pendedahan daripada ahli keluarga banyak membantu beliau memahami kepentingan proses demokrasi.

“Keluarga saya banyak terangkan bagaimana proses mengundi berlaku, bila perlu mengundi dan di mana saluran mengundi.

“Saya rasa mengundi adalah tanggungjawab setiap rakyat Malaysia. Sebab itu saya balik kampung untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut,” katanya.

Pengundi, Naqiuddin Nadzry, 29, bercakap ketika ditemubual sebelum pulang ke kampung halaman untuk menjalankan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika tinjauan di Larkin Sentral, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 10 JULAI 2026.

Sementara itu, bagi seorang kakitangan swasta, Naqiuddin Nadzry, 29, berkata dia mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan pilihan raya menerusi media sosial seperti TikTok dan Instagram sebelum membuat penilaian terhadap calon.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa prestasi dan rekod perkhidmatan calon lebih penting berbanding populariti.

“Bagi saya, siapa yang benar-benar buat kerja untuk kawasan itulah yang patut dipilih.

“Harapan saya, pemimpin yang dipilih nanti dapat menjalankan amanah dengan jujur, telus dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast