Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong

JOHOR BAHRU – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mendakwa, beliau berjaya mengesan dua individu termasuk pegawai kepada dua menteri Persekutuan yang dipercayai terlibat memasang kain rentang berkaitan isu Datuk Seri Najib Razak sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau mendakwa, individu berkenaan didakwa merupakan seorang pegawai dari pejabat Timbalan Menteri Pendidikan serta seorang pegawai khas kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dua individu termasuk seorang daripada pejabat Timbalan Menteri Pendidikan dan seorang lagi pegawai khas kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan didakwa dalang kepada kain rentang isu Datuk Seri Najib Tun Razak

Dakwanya, kedua-dua individu itu dirakam ketika memasang kain rentang yang membawa mesej mengaitkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan pembebasan bekas Perdana Menteri itu.

“Saya panggil jurukamera untuk merakam. Kita berjaya tangkap dua suspek yang memasang banner tersebut.

“Seorang daripada pejabat Timbalan Menteri Pendidikan dan seorang lagi pegawai khas kepada Menteri KPKT,” katanya ketika berucap pada ceramah BN sempena PRN Johor di Anjung Selera Cempaka, di sini, hari ini.

Kain rentang yang mengandungi mesej BN Menang, Najib Bebas didakwa dipasang dua pegawai Menteri Persekutuan.

Ka Siong menegaskan, tindakan membawa isu Najib dalam kempen PRN Johor merupakan cubaan mengalih perhatian pengundi daripada isu sebenar yang dihadapi rakyat.

“Apa perlunya datang ke Johor dan merosakkan suasana kempen? Kalau tidak suka seseorang individu, itu hak masing-masing, tetapi jangan gunakan cara seperti ini untuk mempengaruhi rakyat Johor,” katanya.

Menurut beliau, budaya politik sedemikian tidak mencerminkan adab masyarakat Johor yang lebih mengutamakan kempen secara matang dan berhemah.

“Orang Johor ada cara kita. Kita berpolitik secara terbuka dan berdepan, bukan dengan taktik kotor atau provokasi melalui banner,” katanya.

Dalam pada itu, Ka Siong turut menolak dakwaan yang disebarkan pihak tertentu kononnya undi kepada MCA akan memberi kelebihan kepada PAS.

“MCA bertanding dalam BN dan melawan Pas. Jadi bagaimana boleh timbul dakwaan kononnya undi kepada MCA akan menyebabkan Pas menang? Itu langsung tidak masuk akal,” katanya.

Beliau turut menyeru penyokong BN supaya terus menumpukan usaha memenangkan semua calon gabungan itu tanpa terpengaruh dengan propaganda atau kempen negatif sepanjang tempoh berkempen.

“Kita mahu menang melalui prestasi, rekod dan perancangan untuk Johor, bukannya melalui fitnah atau provokasi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast