Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Grand Finale Harapan DUN Senggarang sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 di Perkarangan Mediwell Pharmacy Banang Jaya, Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 09 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Hubungan antara Kerajaan Negeri Johor dengan Kerajaan Persekutuan yang dilihat ‘sekepala’ dijangka menjadi antara pertimbangan utama pengundi dalam menentukan pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, selain mesej politik, dasar pembangunan dan hala tuju pentadbiran.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Industri Kreatif Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology Kuala Lumpur (TAR UMT), Dr. Nadiah Abdul Aziz berkata, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siri kempen PRN Johor merupakan sebahagian daripada strategi komunikasi politik bagi menyampaikan komitmen kerajaan terhadap pembangunan negeri serta kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Dalam komunikasi politik, Dr Nadiah berkata, mesej yang dibawa seseorang pemimpin bukan sekadar menyampaikan maklumat, sebaliknya turut berperanan membentuk persepsi masyarakat terhadap hala tuju dan keutamaan yang ingin diketengahkan.

Katanya, pendekatan itu penting terutama kepada pengundi yang masih belum membuat keputusan kerana mereka bukan sahaja menilai pencapaian semasa, malah mahu melihat perancangan, komitmen dan keupayaan sesebuah parti atau pemimpin sekiranya diberi mandat mentadbir.

“Mesej sebegini sebenarnya penting terutamanya kepada pengundi yang masih belum membuat keputusan kerana mereka menilai bukan sahaja pencapaian semasa, tetapi juga untuk mengetahui perancangan, komitmen dan kompetensi seorang pemimpin atau sesebuah parti sekiranya mandat diberikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Nadiah berkata, dalam landskap politik semasa, masyarakat tidak lagi menilai sesuatu mesej berdasarkan apa yang disampaikan semata-mata, sebaliknya turut melihat kredibiliti pemimpin melalui rekod prestasi, hala tuju serta dasar yang ditawarkan.

“Komunikasi politik yang berkesan bukan hanya untuk mendapatkan sokongan, tetapi lebih penting daripada itu adalah untuk memenangi kepercayaan masyarakat.

“Pada akhirnya, keberkesanan komunikasi bukan sekadar bergantung kepada kekuatan mesej, tetapi juga kepada keupayaan pemimpin dalam membuktikan mesej tersebut melalui tindakan yang konsisten dan responsif terhadap keperluan masyarakat setempat,” katanya.

Sebelum ini, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) merayu rakyat Johor supaya memberikan mandat kepada calon-calon gabungan itu pada PRN Johor.

Menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis, Anwar berkata, gabungan itu beriltizam untuk bekerja bersungguh-sungguh bagi mempertahankan kepentingan Johor, sekiranya diberi mandat oleh rakyat. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast