KUALA LUMPUR – Terengganu FC mengumumkan kepulangan semula pemain import kuota ASEAN, Manuel Gelito Ott bagi memperkuatkan skuad kendalian Nafuzi Zain menjelang saingan Liga Malaysia musim 2026/2027.
Ott yang berusia 34 tahun merupakan pemain tengah dan tonggak skuad kebangsaan Filipina yang sebelum ini beraksi bersama Rayong FC.
“Kepulangan beliau diyakini mampu menambah kekuatan di bahagian tengah pasukan menerusi pengalaman, kualiti teknikal serta kepimpinan yang dimiliki.

“Pengurusan kelab percaya kehadiran semula Manuel Ott akan memberikan impak positif kepada pasukan dalam usaha memperkukuhkan skuad dan merealisasikan sasaran Terengganu FC untuk terus bersaing secara kompetitif dalam semua pertandingan musim ini,” tulis kelab itu di media sosial hari ini.
Ott pernah beraksi bersama TFC selama semusim pada 2022 sebelum berhijrah bersama Kedah setahun kemudian bersama Nafuzi sebelum kembali bersama TFC pada pertengahan musim 2024.
Kehadiran semula ‘arkitek’ kelahiran Munich, Jerman itu adalah kali ketiga buat skuad Penyu selepas kali pertama pada tahun 2022.
Sepanjang 30 perlawanan bersama kelab Rayong FC musim lalu, pemain yang pernah menyarung jersi Melaka United itu berjaya meledak masing-masing satu jaringan dan bantuan jaringan. – MalaysiaGazette
















