KUALA LUMPUR – Pelbagai produk sejuk beku, aset serta peralatan bernilai lebih RM24 juta telah dirampas menerusi 14 serbuan Op Chiller sekitar 11 daerah di Sabah, pada Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata serbuan dilancarkan pasukan Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) antara jam 8 pagi hingga 6 petang.
Katanya, ia melibatkan pelbagai daerah di Kota Kinabalu, Papar, Penampang, Tawau, Keningau, Semporna, Sandakan, Beluran, Lahad Datu, Sook dan Sipitang.
“Kita telah menahan seramai 21 individu berusia antara 20 hingga 66 tahun, termasuk 19 warga tempatan dan dua warga asing bagi membantu siasatan.
“Hasil operasi itu, pasukan berjaya merampas pelbagai produk sejuk beku bernilai RM10.35 juta melibatkan nugget, sosej, daging import, daging kambing, daging ayam, ikan dan organ dalaman lembu.
“Selain itu, aset bernilai RM13.8 juta turut disita membabitkan 11 unit chiller pelbagai jenama berkapasiti 700 liter, 24 unit bilik sejuk pelbagai saiz serta pelbagai kenderaan dan peralatan.
“Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan sebanyak RM24.15 juta,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan turut mengesan pelbagai kesalahan di bawah Enakmen Haiwan 2015, Akta Makanan 1983, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta beberapa undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.
Katanya, semua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“PDRM komited dan konsisten dalam membanteras aktiviti penyeludupan, penyimpanan serta pemprosesan produk sejuk beku dan kesalahan-kesalahan lain khususnya di Sabah.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti ini diminta menyalurkannya kepada pihak PDRM,” katanya. – MalaysiaGazette
















