KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) berharap peningkatan sokongan pengundi Cina dan India dapat dikekalkan sehingga hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sokongan luar biasa itu telah menjadi satu gelombang baharu buat BN sepanjang 14 berkempen sejak 27 Jun lalu.

“Terima kasih juga kerana calon-calon daripada parti-parti Barisan Nasional yang pada kali ini saya lihat sungguh beriya-iya menang dan membantu calon-calon mereka.

“Terdapat empat calon dari MIC, 15 MCA dan 37 calon UMNO dan tidak nampak sebagaimana yang berlaku dahulu mereka bekerja atas nama pasukan Barisan Nasional.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pengundi Cina dan India yang melihatkan peningkatan yang sangat ketara pada kali ini dan ianya merupakan
satu gelombang baharu untuk Barisan Nasional dan saya berharap hingga 6.00 petang esok,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena program Himpunan Munajat yang diadakan di Bandar Putra, di sini hari ini.

Turut hadir, calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.

Ahmad Zahid turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengamal media tempatan yang membuat liputan PRN Johor secara profesional, adil dan seimbang.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pendekatan tersebut wajar diteruskan pada beberapa pilihan raya lain yang akan diadakan dalam waktu terdekat, sama ada di Negeri Sembilan, Melaka dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya ucapkan terima kasih kerana pengamal media sosial telah memainkan peranan yang cukup penting dalam mempromosikan calon-calon kita. Tidak kurang juga yang melakukan sebaliknya, tetapi kita ucapkan terima kasih juga kerana dengan adanya isu-isu itu kita dapat membalas.

“Lebih lagi, kami ucapkan terima kasih adalah kepada rakan-rakan para wartawan daripada media perdana, media elektronik atau media cetak.

“Saudara saudari semua, sama ada yang berada di lapangan atau di stesen masing-masing di ibu pejabat, saya ucapkan banyak-banyak terima kasih. Kali ini amat berbeza kerana liputannya cukup seimbang dan sangat profesional,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast