Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) giat melakukan kerja-kerja persiapan bagi hari mengundian pada hari esok sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Pusat Penjumlahan Undi Pilihan Raya Negeri (PRN), Dewan Jubli Intan Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 10 JULAI 2026.

PONTIAN – Kira-kira 70 peratus atau 1.8 juta pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jangkaan itu berdasarkan peningkatan minat masyarakat untuk terlibat dalam proses demokrasi di Johor. berbanding PRN pada 2022.

“Kita melihat ada kecenderungan dan minat untuk mengundi pada kali ini agak tinggi serta kempen-kempen yang berterusan.

“Kita menjangkakan peratusan keluar mengundi boleh sampai sekitar 70 peratus, saya rasa semangat dalam kalangan rakyat untuk terlibat dalam proses demokrasi agak tinggi akhir-akhir ini,” katanya.

Beliau berkata demikan selepas hadir bagi melakukan semakan terhadap isi peti undi PRN Johor di Dewan Serbaguna Permas, Kukup, di sini hari ini.

PRN Johor dilaporkan mempunyai lebih 2.7 juta pemilih dengan 1,076 pusat mengundi membabitkan 4,849 saluran.

Ramlan berkata, proses semakan peti undi itu amat kritikal dan penting bagi memastikan semua peralatan yang akan digunakan esok berada dalam keadaan lengkap dan teratur.

“Setakat ini saya difahamkan hampir semua pegawai pengurus di 56 pusat di seluruh Johor. Alhamdulilah proses berjalan amat lancar.

“Proses mengundi esok akan bermula pada pukul 8 pagi, manakala kebanyakan pusat mengundi akan ditutup pada pukul 5 petang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengundi pos supaya memulangkan kertas undi masing-masing selewat-lewatnya pukul 6 petang esok.

Katanya, sebanyak 24,677 kertas undi pos telah dikeluarkan kepada pegawai dan rakyat yang berada di luar negeri serta semua kertas undi itu perlu dipulangkan sebelum tempoh pengundian ditutup pada jam 6 petang esok.

Seramai 43,036 petugas SPR akan bertugas bagi memastikan kelancaran sepanjang PRN Johor kali ini berlangsung.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast