KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 akaun bank syarikat bernilai kira-kira RM1.1 juta dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes rasuah dokumen di empat negeri, sejak Rabu lalu.
Menurut sumber, pembekuan itu turut melibatkan lima akaun syarikat dan sembilan akaun perbankan milik beberapa individu.
Operasi bersepadu yang dijalankan Bahagian Perisikan bersama SPRM Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka itu turut menyita pelbagai aset berjumlah kira-kira RM1.4 juta.
“Sitaan yang dilakukan hari ini (Jumaat) adalah wang tunai RM393,150; mata wang Indonesia 18 juta rupiah (RM4,050); 10 unit kereta mewah dan tiga unit motosikal dianggarkan berjumlah kira-kira RM1.8 juta.
“Turut disita 14 kepingan emas seberat satu gram setiap satu, dianggarkan bernilai RM8,300, 80 unit pelbagai jenis barang kemas bernilai RM118,500 dan tiga unit jam tangan bernilai RM42,200.
“Satu unit beg tangan mewah bernilai kira-kira RM9,000 dan 17 unit telefon bimbit bernilai kira-kira RM48,000 juga disita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah sumber, sebanyak sembilan kertas siasatan telah dibuka dalam operasi bersepadu itu, setakat hari ini.
“Penyitaan susulan siasatan ke atas 33 individu yang terdiri daripada pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing.
“Mereka disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, membabitkan warga asing seperti tanpa dokumen perjalanan yang sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja.
“Semalam SPRM juga menahan seorang lagi penguat kuasa di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk membantu siasatan. Bagaimanapun, beliau dilepaskan dengan jaminan SPRM,” jelasnya.
Sejak Rabu lalu, SPRM telah menyerbu beberapa lokasi di empat negeri dan menahan 33 individu melibatkan pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing disyaki terbabit dalam penyelewengan dokumentasi dan pas lawatan sosial.
Kesemua suspek yang terdiri daripada 25 lelaki dan sembilan wanita berusia lingkungan 20-an hingga 50-an itu ditahan semalam ketika memberi keterangan di beberapa pejabat SPRM.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A), 17(a), 17(b) dan 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















