Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Command Centre Barisan Nasional bagi memantau keputusan terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Ibu Pejabat Perhubungan UMNO, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 11 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR –  Barisan Nasional (BN) wajar mempertimbangkan untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan sebaik sahaja Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berakhir, khususnya jika gabungan itu memperoleh kemenangan cemerlang.

Penganalisis politik, Shahbudin Husin berpandangan, corak kempen PRN Johor memperlihatkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) lebih banyak menyerang serta menyindir antara satu sama lain berbanding parti lawan lain, walaupun kedua-duanya merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, situasi itu menunjukkan hubungan antara kedua-dua gabungan tersebut semakin renggang dan tidak lagi mencerminkan semangat kerjasama dalam kerajaan.

“Dalam kempen PRN Johor, PH menyerang BN dan BN menyerang PH. Keadaan ini berlaku bukan sahaja di peringkat pimpinan, malah turut melibatkan ahli serta penyokong kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau mendakwa perkembangan itu menggambarkan Kerajaan Perpaduan kini berada dalam keadaan yang tidak lagi kukuh, malah menyifatkannya sebagai “kerajaan perpecahan”.

Lantaran itu, Shahbudin berkata, sekiranya BN berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga di Johor, gabungan itu sewajarnya meninggalkan Kerajaan Perpaduan dan mentadbir negeri berkenaan tanpa melibatkan PH.

Beliau turut merujuk kenyataan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang sebelum ini dilaporkan enggan bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan negeri sekiranya terus diberi mandat sebagai Menteri Besar.

Menurutnya, langkah keluar daripada Kerajaan Perpaduan juga akan membolehkan BN menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Melaka dalam keadaan lebih bebas serta selari dengan pendirian politiknya.

Dalam masa sama, Shahbudin berpendapat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka tidak akan menyingkirkan BN daripada Kerajaan Perpaduan kerana mahu mengekalkan kestabilan pentadbiran sehingga tamat penggal.

Beliau bagaimanapun berpandangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perlu mengambil langkah proaktif sekiranya BN memperoleh kemenangan besar pada PRN Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast