Dua warga Indonesia yang ditangkap di perairan Kapar.

KUALA LUMPUR  – Cubaan dua warga Indonesia menangkap hasil laut secara haram di perairan Kapar berakhir apabila bot fiber yang mereka naiki dipintas dan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor dalam operasi penguatkuasaan, malam semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira pukul 10.30 malam ketika kapal ronda Maritim Malaysia melaksanakan rondaan rutin di perairan Selangor selepas mengesan pergerakan bot itu dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 0.8 batu nautika barat daya Sungai Sementa Besar, Kapar.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan seorang tekong berusia 32 tahun dan seorang kru berusia 23 tahun yang kedua-duanya merupakan warga Indonesia.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua individu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, manakala tekong turut gagal mengemukakan lesen atau permit bagi menjalankan aktiviti penangkapan hasil laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek bersama bot fiber dan hasil tangkapan kemudian diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menjalankan aktiviti menangkap hasil laut tanpa lesen atau kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Kedua-dua suspek turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Abdul Muhaimin berkata, Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan haram yang boleh mengancam kelestarian sumber marin serta menjejaskan kedaulatan perairan negara.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor bagi membolehkan tindakan segera diambil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast