MUAR – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, Mohd Ghazali Sabari, 41, tidak menyangka mampu memenangi kerusi itu dengan majoriti jauh lebih tinggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 hari ini.
Ia katanya, memandangkan beliau berdepan persaingan lima penjuru termasuk dengan seorang bekas ADUN yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada para pengundi di DUN Bukit Naning yang memberikannya kepercayaan untuk mewakili suara mereka dalam Kerajaan Negeri Johor.
“Saya tidak jangka akan dapat majoriti undi sebegini banyak, terima kasih kepada para pengundi dan para jentera BN dan UMNO yang bekerja keras dan bertungkus-lumus memastikan kemenangan parti di sini,” katanya.
Mohd Ghazali ditemui MalaysiaGazette selepas pengumuman rasmi kemenangan beliau bagi kerusi DUN Bukit Naning oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Dewan Maktab Teknik PDRM di sini, malam ini.

Mohd Ghazali berjaya memenangi kerusi itu selepas mendapat 9,174 undi berbanding calon Pakatan Harapan (PH), Md Ysahrudin Kusni (5,564 undi); Mohd Radzi Amin (PN) (1,896 undi); Iskandar Md Alias (Bersama) (138 undi) dan S. Jeganathan (Bebas) (586 undi).
Jumlah undi majoriti yang diperoleh Mohd Ghazali juga meningkat kepada 3,610 undi, iaitu lebih dua kali ganda berbanding pada PRN Johor lalu yang mana calon ketika itu, Datuk Dr. Mohd Fuad Tukirin menang dengan majoriti 1,535 undi.
Pada PRN Johor kali ini, peratusan keluar mengundi bagi DUN Bukit Naning mencecah sehingga 76.32 peratus daripada keseluruhan 32,002 pengundi berdaftar, iaitu lebih tinggi berbanding PRN lalu (63 peratus).

Sementara itu, Mohd Ghazali berkata, beliau akan memperjuangkan isu dan masalah yang disuarakan penduduk sepanjang kempen PRN Johor ke-16.
Antaranya, menurut beliau, isu perparitan yang membelenggu penduduk yang akan dipanjangkan kepada pihak-pihak berwajib supaya dapat diselesaikan segera.
“Isu perparitan tersumbat antara yang banyak dibangkitkan penduduk dan insya-Allah saya akan usahakan mana yang mampu untuk kita uruskan bersama masalah ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















