Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini membuka 10 talian hotline khas bagi menerima aduan berkaitan dakwaan pelanggaran prosedur dan kesalahan pilihan raya sepanjang proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Langkah itu diambil susulan beberapa laporan yang diterima daripada petugas parti, ejen tempat mengundi serta pengundi di beberapa pusat mengundi di seluruh negeri.

Pengarah Pilihan Raya Bersama Keadilan, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya memandang serius setiap aduan yang diterima dan semua laporan akan disemak bersama bukti sebelum dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta pihak berkuasa berkaitan.

“Kami membuka 10 talian hotline bagi membolehkan sebarang aduan disalurkan dengan segera. Semua maklumat yang diterima akan diteliti dan tindakan susulan akan diambil mengikut saluran yang sewajarnya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Antara dakwaan dimaklumkan kepada MalaysiaGazette ialah seorang pengundi di DUN Senggarang yang mendakwa tidak dibenarkan mengundi selepas namanya didapati telah ditandakan sebagai telah mengundi walaupun beliau mendakwa belum menunaikan kewajipannya itu.

Menurutnya, pengundi terbabit telah membuat laporan di Balai Polis Senggarang dan dijangka membuat laporan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Selain itu, berkenaan turut mendakwa menerima laporan  seorang Ketua Tempat Mengundi (KTM) di DUN Tenang bertindak mendorong pengundi memilih Barisan Nasional (BN) ketika proses pengundian berlangsung.

Menurut maklumat yang diterima, calon terbabit telah membuat bantahan secara lisan terhadap tindakan berkenaan.

Di DUN Semerah pula, Keadilan mendakwa menerima aduan daripada seorang ejen mengira undi yang memaklumkan terdapat perayu undi BN berada di hadapan pintu masuk Sekolah Kebangsaan Lubok bagi merayu sokongan pengundi.

Parti itu turut mendakwa berlaku kekeliruan di DUN Bukit Kepong apabila seorang KTM didakwa memaklumkan kepada petugas bahawa Borang 14 tidak perlu ditandatangani sebelum diserahkan kepada ejen mengira undi.

Menurut Amirudin, pihaknya sedang mendapatkan penjelasan daripada SPR berhubung dakwaan itu kerana berdasarkan Peraturan 25(12) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, Borang 14 perlu diperakui oleh Ketua Tempat Mengundi sebelum salinannya diserahkan kepada ejen yang hadir.

Sementara itu, di DUN Buloh Kasap, parti berkenaan turut mendakwa seorang KTM bertindak mengambil telefon bimbit milik seorang petugas walaupun larangan penggunaan telefon bimbit yang diumumkan SPR merujuk kepada pengundi di saluran mengundi.

Keadilan turut mendakwa menerima laporan seorang pengundi di Bukit Kepong tidak dibenarkan mengundi kerana memakai seluar pendek.

Sehubungan itu, parti berkenaan mengarahkan semua petugas, ejen tempat mengundi (ETM), ejen mengira undi (EMU) dan PACA supaya terus memantau perjalanan proses pengundian serta segera menyalurkan sebarang aduan melalui 10 talian hotline yang diwujudkan.

Menurut Amirudin, selain PKR terdapat juga aduan sama dimaklumkan oleh DAP dan Amanah yang mana semua aduan yang diterima akan disemak bersama bukti sokongan sebelum dikemukakan kepada SPR dan pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.

Setakat ini, SPR belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan yang dibangkitkan oleh Keadilan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast