JOHOR BAHRU – Faktor cuaca yang tidak menentu serta keinginan mengelak barisan panjang mendorong ramai pengundi hadir untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Johor hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette di Pusat Mengundi N.47 Kempas di Sekolah Agama Taman Cempaka di sini mendapati rata-rata pengundi di saluran satu, dua dan tiga memilih keluar seawal jam 7 pagi tadi.
Bagi Hasmah Mukmin, 70, dia memilih untuk hadir seawal pukul 8 pagi bagi memastikan urusan mengundi dapat diselesaikan dengan mudah.
Penduduk Taman Cempaka itu berkata, keputusan keluar awal bukan sahaja mengelakkan kesesakan, malah memberi ruang untuk meneruskan aktiviti harian selepas selesai mengundi.
“Kalau boleh, keluarlah mengundi awal. Kalau hujan nanti susah pula nak keluar. Datang awal lebih senang, lepas mengundi boleh terus buat urusan lain,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Sekolah Agama Taman Cempaka pagi ini.

Sementara itu, pengundi muda, Muhammad Faiz Ajmal Khan, 19, mengakui teruja apabila pertama kali menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi selepas layak mengundi pada usia 18 tahun.
Muhammad Faiz berkata, segala prosedur pengundian mudah difahami hasil penerangan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), selain pengetahuan yang diperoleh melalui pembelajaran di sekolah.
“Proses mengundi sangat mudah dan lancar, tidak sampai lima minit semuanya selesai.
“Saya harap rakan-rakan yang masih belum keluar mengundi dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“Ini kerana setiap undi amat bermakna dan boleh menentukan kepimpinan pada masa depan,” katanya.
Bagi Nurul Huda Abdul Majid, 43, dari Program Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai pula, dia sengaja keluar awal bagi mengelakkan kesesakan di pusat mengundi.
Sebagai seorang dalam kategori orang kurang upaya (OKU), Nurul Huda tidak perlu beratur lama kerana SPR memberi laluan khas kepada pengundi istimewa dan mempunyai kekurangan fizikal untuk mengundi lebih awal.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan tidak perlu beratur terlalu lama.
“Saya mengajak orang ramai supaya datang mengundi pada waktu pagi kerana ketika ini keadaan masih tidak begitu sesak.
“Tambahan pula cuaca sekarang tidak menentu, jadi lebih baik selesaikan tanggungjawab lebih awal,” katanya. – MalaysiaGazette
















