KULAI – Sebanyak 29 aduan berkaitan kandungan dalam talian diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 bermula 1 Jun hingga kelmarin.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, antara aduan tersebut membabitkan penyebaran berita palsu, ucapan kebencian berunsur 3R (Agama, Kaum dan Institusi Diraja) serta penipuan di media sosial.
“Daripada jumlah itu, 17 aduan melibatkan berita palsu, 12 aduan berkaitan ucapan kebencian berunsur 3R, manakala satu kes membabitkan penipuan termasuk akaun palsu dan penyamaran.
“Semua aduan yang diterima telah disalurkan kepada platform media sosial untuk tindakan lanjut mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kulai Besar di sini hari ini.

Nie Ching membuang undi di Pusat Mengundi SJKC Kulai Besar, Kulai, hari ini
Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, bagi kes ucapan kebencian berunsur 3R, sebanyak sembilan kes membabitkan isu kaum, manakala masing-masing satu kes berkaitan agama dan institusi DiRaja.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan penyebaran maklumat yang tidak sahih atau kandungan berunsur kebencian.
“Saya menyeru kepada pengundi jangan terpedaya dengan berita-berita palsu ataupun kenyataan yang berunsur benci.
“Jadilah seorang netizen yang celik digital dan gunakan kuasa kita sebagai seorang pengundi dengan bijaksana,” katanya.- MalaysiaGazette
















