JOHOR BAHRU – Meskipun sibuk membuat liputan sempena Hari Mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini, pengamal media di negeri ini tetap menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Presiden Kelab Media Johor (KMJ), Mohamad Fauzi Ishak berkata, terdapat pengamal media yang memilih untuk mengundi secara fizikal meskipun layak menggunakan kemudahan undi pos.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana mereka mahu merasai sendiri suasana hari pengundian bersama-sama rakyat selain memastikan tanggungjawab sebagai warganegara dilaksanakan sebelum membuat liputan sehingga lewat malam.
“Walaupun ramai pengamal media layak mengundi secara pos kerana bertugas pada hari pengundian, masih ada yang memilih hadir ke pusat mengundi untuk mengundi secara fizikal.
“Komitmen mereka bukan sahaja dalam memastikan rakyat mendapat liputan berita yang tepat dan pantas, malah mereka juga tetap melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.
Beliau berkata demikan selepas selesai mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas di Sekolah Kebangsaan (SK) Kempas di sini hari ini.
Pada masa sama, Mohamad Fauzi yang juga Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) berharap semua petugas media yang bertugas pada PRN Johor dapat menjalankan tanggungjawab dengan profesional, beretika dan mengutamakan keselamatan sepanjang membuat liputan.
Sementara itu, wartawan New Straits Times, Izlaily Nurul Ain Hussein, 39, tidak mempunyai sebarang halangan untuk mengundi meskipun pada masa sama membuat liputan pada hari mengundi.
“Setiap kali pilihan raya saya akan bertugas, biasanya saya akan ambil masa sebentar untuk menjadi pengundi paling awal kerana bimbang tak sempat mengundi sebab akan bekerja sehingga lewat malam,” katanya yang mengundi bagi kerusi DUN Perling di Sekolah Agama Bandar Johor Bahru.
Bagi jurugambar TV3, Ismail Osman, 62, beliau tiba di Dewan Kampung Majidee di sini seawal pukul 7.30 pagi bagi memastikan dapat mengundi sebelum memulakan tugasan liputan.
“Saya menjadi pengundi pertama di dewan ini kerana bertugas membuat liputan pada PRN kali ini. Alhamdulillah, proses pengundian berjalan lancar dan tidak mengambil masa yang lama,” katanya yang mengundi bagi kerusi DUN Stulang. – MalaysiaGazette















