PASIR GUDANG – Seorang warga emas terharu apabila berpeluang mengundi buat pertama kali di Malaysia pada usia 75 tahun sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini.
Supaid Karmat berkata, hari ini amat bermakna baginya selepas hampir dua dekad menanti dengan penuh sabar untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di negara ini l.
Menurutnya, ini merupakan detik bersejarah dalam hidupnya apabila dapat merasai sendiri pengalaman memangkah kertas undi buat pertama kali dalam hidupnya sebagai warganegara Malaysia.
Bekas warga Singapura yang baharu memperoleh status kewarganegaraan Malaysia pada 2024 itu mengakui berasa teruja dan hiba bercampur baur sebaik sahaja jarinya dicelup dengan dakwat kekal.
“Selama puluhan tahun, tugas saya menjadi ‘pemandu’ yang menghantar isteri dan anak-anak ke pusat mengundi. Setiap kali lihat mereka masuk ke pusat mengundi, saya berdoa agar satu hari nanti giliran saya pula akan tiba.
“Hari ini, perasaan sangat luar biasa dan bermakna. Selepas memohon kewarganegaraan sejak kira-kira 20 tahun yang lalu, akhirnya saya dapat berdiri di dalam bilik undi sebagai seorang rakyat Malaysia yang sebenar,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia di sini hari ini.
Menurut Supaid, status kewarganegaraannya sebelum ini berbeza dengan ahli keluarga yang lain memandangkan isteri, serta enam anaknya yang dilahirkan di negara ini merupakan rakyat tempatan.
“Saya sangat sayang kepada Malaysia. Ini adalah sebuah negara yang aman, makmur dan harmoni untuk semua rakyat berteduh.
“Harapan saya sebagai orang tua, semoga keamanan dan keharmonian yang kita nikmati hari ini terus kekal sampai bila-bila untuk diwarisi generasi akan datang,” katanya.- MalaysiaGazette
















