Mazanah bersama anak dan cucu selesai menunaikan tanggungjawab mengundi bersama suami di SMK Bandar Baru Uda, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Tiga generasi sebuah keluarga teruja untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda di sini hari ini.

Mazanah Mohd Zain, 69, tiba di pusat pengundian  kira-kira pukul 8.30 pagi tadi dengan menaiki kerusi roda ditemani anak dan menantu serta cucu perempuannya.

Menurut Mazanah, dia tidak pernah gagal untuk menjalani proses pengundian sejak berusia 20an sehingga kini walaupun keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

“Saya sudah keluar mengundi kat Bandar Baru Uda ini sebanyak empat kali, sebelum itu pernah merasa mengundi awal ketika arwah suami berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sarawak.

“Saya tekankan kepada anak-anak dan cucu mengenai kepentingan proses pengundian dalam menentukan pemerintah yang kita mahukan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Cucunya, Ersya Nadzra Mohd Nadzrin, 22, cukup teruja untuk keluar mengundi buat pertama kali bersama ibu bapa dan neneknya.

Katanya, dia bangun seawal pukul 6.30 pagi dan memastikan ahli keluarganya sudah bersiap untuk keluar mengundi awal pagi bagi mengelakkan kesesakan.

“Saya memang teruja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat pertama kali. Insya-Allah, saya sudah fikir semasak-masaknya calon yang dipilih,” ujarnya.

Sementara itu, pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak, Ahmad Irfan Harif Ahmad Izwan, 19, berkata, proses pengundian penting dalam memenangkan calon wakil rakyat yang boleh bekerja untuk masyarakat.

Ahmad Irfan yang mengikuti pengajian Diploma Pertanian itu teruja untuk keluar mengundi buat pertama kali pada PRN Johor ke-16 ini.

“Kebetulan sekarang ini berada dalam tempoh cuti semester dan sudah pulang ke Johor sejak bulan lalu. Jadi, saya tidak melepaskan peluang untuk mengundi buat pertama kali.

“Setiap undi adalah berharga dan merupakan tanggungjawab setiap rakyat yang layak untuk mengundi,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast