Reaksi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan membebaskan beliau dari sabitan dan hukuman terhadap kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahahan wang haram, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 25 JUN 2025. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Selepas menunggu dua minggu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mengetahui nasibnya esok sama ada dibebaskan atau kekal dipenjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta berkaitan kes dana Armada RM1 juta.

Perkara itu akan dimuktamadkan oleh Mahkamah Persekutuan, Putrajaya sama ada secara sebulat suara atau keputusan majoriti 2-1 apabila menolak atau membenarkan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasannya.

Keputusan mahkamah tertinggi negara itu turut akan menentukan hala tuju karier politik Syed Saddiq, 34, sama ada beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Muar atau hilang kelayakan bertanding pada pilihan raya akan datang.

Mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang pemimpin hilang kelayakan menjadi calon pilihan raya sekiranya dijatuhi hukuman penjara tidak kurang setahun atau denda sekurang-kurangnya RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Peruntukan sama turut menetapkan seseorang ahli Parlimen boleh hilang kelayakan sebagai wakil rakyat jika dikenakan hukuman tersebut.

Keputusan yang dinanti-nanti oleh ramai pihak itu sepatutnya diumumkan pada 30 Jun lalu bagaimanapun ditangguhkan selepas salah seorang daripada panel tiga hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali tidak sihat pada hari tersebut dan diberikan sijil cuti sakit selama dua hari.

Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mengetuai koram, ketika itu memaklumkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hadir di mahkamah, namun Che Mohd Ruzima tidak sihat dan tidak dapat menganggotai panel bersidang.

Sepanjang prosiding rayuan bermula pada 11 dan 12 Disember tahun lalu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan.

Sementara Syed Saddiq diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mengetuai pasukan pembelaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 Kuala Lumpur, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, ahli politik berkenaan didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di antara 8 dan 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.

Bagaimanapun, pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskannya daripada sabitan serta hukuman itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast