Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – “Merujuk kepada ada pihak yang mendesak supaya saya letak jawatan, sila baca kenyataan penuh saya semasa wawancara eksklusif bersama Oriental Daily”.

Itu respon Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menjawab tuntutan ramai pihak mahu beliau menunaikan janjinya untuk melepaskan jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu jika Pakatan Harapan (PH) kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Yang saya nyatakan semasa wawancara tersebut merupakan pendirian saya sebagai seorang peguamcara dan peguambela Mahkamah Tinggi Malaya yang konsisten sepanjang masa iaitu kewibawaan sistem kehakiman negara perlu dipertahankan,” jelas Kor Ming.

Menurut beliau, jika Datuk Seri Najib Razak yang mengakibatkan rakyat Malaysia kini terpaksa menanggung hutang 1MDB sebanyak RM51.4 bilion boleh dilepaskan tanpa menjalankan hukuman yang setimpal dengan kesalahan walaupun sudah didapati bersalah, ia bermakna kewibawaan sistem kehakiman negara ini telah digadai dan prinsip kedaulatan undang-undang sepertimana yang termaktub dalam Rukun Negara juga tidak lagi dihormati.

“Sekiranya keadaan sedemikian berlaku, demi mempertahankan integriti sistem kehakiman negara kita yang tercinta, saya sudi letak jawatan sebagai anggota jemaah Menteri.

“Perkara ini tidak ada kaitan dengan soal peribadi, sebaliknya ia merupakan satu soal prinsip utama. Saya kekal berpegang teguh dengan prinsip ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau dalam masa sama mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan PRN Johor.

“Walaupun kami tidak menang kali ini, besok masih ada,” katanya.

Menurut beliau, PH tetap komited dan cakna untuk terus bekerja kuat dan berbakti kepada rakyat dan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast