Onn Hafiz mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. (Gambar fail).

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua selepas Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Istiadat angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Bukit Serene di sini petang ini.

Onn Hafiz menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene.

Istiadat tersebut dimulakan dengan bacaan Surat Tauliah Menteri Besar Johor oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.

Hadir sama, Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli.

Terdahulu, kenderaan membawa Onn Hafiz masuk Istana Bukit Serene pada pukul 3.41 dan dilihat keluar pada pukul 4.40 petang.

Pada pagi tadi, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Istana Pasir Pelangi.

Pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu turut dihadiri Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor.

Onn Hafiz sebelum ini dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 pada 15 Mac 2022 selepas BN memenangi PRN Johor ke-15 dengan kemenangan besar apabila memperoleh 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada PRN ke-16 pula, BN menang 48 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Belian berjaya mempertahankan DUN Machap dengan memperoleh 20,382 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nur Hafiz Roslan yang meraih 5,007 undi, sekali gus menang dengan majoriti 15,375 undi.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast