Empat calon MIC PRN Johor yang menang kesemua kerusi ditandingi parti terbesar masyarakat India di negara ini.

JIKA ada satu parti yang benar-benar boleh tersenyum lebar malam tadi apabila keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) diumumkan, ia pastinya MIC.

Dengan hanya empat kerusi ditandingi, parti itu mencatat keputusan sempurna apabila memenangi kesemuanya.

Lebih manis, dua daripadanya merupakan kemenangan yang tidak dijangka apabila berjaya merampas kerusi milik Pakatan Harapan (PH).

Lebih menarik, pencapaian itu hadir selepas MIC berdepan kempen yang cukup mencabar sepanjang tempoh pilihan raya, dalam siri ceramah dan kenyataan pemimpin PH khususnya DAP, MIC sering dijadikan sasaran kritikan.

Pelbagai isu lama dibangkitkan, selain naratif parti itu semakin hilang pengaruh dalam kalangan masyarakat India dan tidak lagi mempunyai kekuatan seperti dahulu.

Di media sosial pula, pelbagai ramalan dibuat yang MIC bakal mengalami kekalahan besar malah ada pemerhati yang menjangkakan parti itu hanya mampu mempertahankan satu atau dua kerusi manakala Perling dan Bukit Batu pula dianggap hampir mustahil untuk dimenangi BN.

Namun keputusan di peti undi akhirnya menceritakan kisah yang sama sekali berbeza.

Di Perling, calon MIC, P. Pannir Selvam mencipta antara kejutan terbesar PRN Johor apabila menewaskan calon DAP, Alan Tee.

Calon N.46 Perling, Pannir Selvam bercakap kepada MalaysiaGazette sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Perling, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2026.

Kemenangan itu bukan sekadar menambah satu kerusi kepada BN, malah menamatkan penguasaan DAP di kawasan yang selama ini dianggap antara kubu paling kukuh parti itu di Johor.

Perling sebelum ini diwakili Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang memenanginya pada PRN 2022 dengan majoriti lebih 3,000 undi.

Tidak keterlaluan jika dikatakan kemenangan di Perling menjadi simbol tidak ada lagi kerusi yang boleh dianggap benar-benar selamat dalam landskap politik Johor hari ini.

Satu lagi kejutan hadir di Bukit Batu apabila Setiausaha MIC Johor, R. Kumaran berjaya menewaskan penyandang PKR, Arthur Chiong Sen Sern dalam pertandingan lima penjuru.

Calon Barisan Nasional bagi DUN Bukit Batu, R K Kumaran bercakap ketika ditemubual selepas menyerahkan borang pencalonan sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 di Pusat Penamaan Calon DUN Bukit Batu di Dewan Serbaguna Taman Putri, Kulai. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2026.

Walaupun PKR hanya memenangi kerusi itu dengan majoriti 137 undi pada 2022, ramai masih melihat penyandang mempunyai kelebihan namun jentera berjaya membalikkan keadaan dan menghadiahkan satu lagi kemenangan penting kepada BN.

Di Kemelah pula, K. Raven Kumar membuktikan keputusan berpindah dari Tenggaroh bukan satu perjudian yang sia-sia apabila berjaya mempertahankan kerusi tersebut untuk BN.

Calon BN N.04 Kemelah, Raven Kumar selepas Majlis Pengumuman Calon BN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Joho ke-16 di Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 24 JUN 2026.

Di Kahang, calon muka baharu, V. Rugendran pula menepis cabaran PH dan PN sekaligus melengkapkan rekod bersih empat kemenangan daripada empat kerusi.

Hakikat MIC memenangi semua kerusi yang ditandinginya menjadikan parti itu antara komponen BN dengan prestasi paling cemerlang pada PRN kali ini.

Llebih signifikan, dua daripada empat kemenangan itu diperoleh menerusi kerusi yang sebelum ini dikuasai PH.

Calon BN N.31 Kahang, V. Rugendran bercakap kepada MalaysiaGazette sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Sembrong, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 06 JULAI 2026.

Kejayaan itu juga dilihat tidak berlaku secara kebetulan.

Sepanjang tempoh kempen, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran hampir tidak berhenti menjelajah keempat-empat kerusi MIC.

Selain memperkukuh jentera akar umbi, beliau turut memberi penekanan kepada kempen berasaskan isu rakyat, disiplin jentera serta memastikan setiap pengundi keluar mengundi pada hari pengundian.

Presiden MIC, Tan Sri Dr SA Vigneswaran berucap pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) di Stadium Educity, Iskandar Puteri, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 07 JUN 2026.

Tidak lupa juga dengan suntikan semangat oleh timbalannya, Datuk Seri M. Saravanan.

Apa yang menarik, MIC memilih untuk tidak terlalu melayan serangan politik yang dilemparkan terhadap parti itu sebaliknya fokus diberikan kepada gerak kerja di lapangan, pertemuan terus dengan pengundi dan penyelarasan jentera sehingga ke saluran mengundi.

Strategi yang kelihatan sederhana itu akhirnya memberikan pulangan yang besar.

Keputusan itu uga mesej lebih luas kepada landskap politik negara, selama bertahun-tahun, pelbagai pihak mempertikaikan relevansi MIC dalam politik Malaysia.

Ada yang melihat parti itu semakin mengecil malah ada yang menganggap peranannya dalam BN sekadar pelengkap. PRN Johor kali ini memberikan jawapan yang berbeza.

Sudah tentu kemenangan ini tidak bermaksud MIC bebas daripada cabaran.

Parti itu masih berdepan tugas besar untuk mengekalkan momentum dan membuktikan prestasi wakil rakyatnya dalam tempoh lima tahun akan datang.

Namun buat masa ini, keputusan PRN Johor sekurang-kurangnya membuktikan semua ramalan mengenai kejatuhan MIC tidak menjadi kenyataan.

Ironinya, ketika sebahagian besar tumpuan kempen diberikan kepada usaha menggambarkan MIC sebagai parti yang semakin lemah, keputusan akhirnya menunjukkan parti itu yang muncul dengan rekod paling sempurna.

Empat kerusi ditandingi, empat kerusi dimenangi dan mungkin itulah mesej paling jelas yang dihantar oleh pengundi Johor pada PRN kali ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast