JOHOR BAHRU – Kegagalan parti Bersama dan Pas meraih sebarang impak positif dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 membuktikan percaturan politik kedua-dua parti tersebut gagal mencapai matlamat sebaliknya mengukuhkan kedudukan pesaing mereka.
Felo Majlis Profesor Negara, Dr Azmi Hassan berpendapat, kekalahan bagi parti Bersama dalam pilihan raya kali ini sebenarnya sudah diduga sejak awal oleh ramai pihak.
“Umum mengetahui penyertaan Bersama dalam PRN Johor bukan untuk mencatatkan kemenangan sebaliknya objektif utama parti itu untuk memudaratkan Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR.
“Ia ternyata gagal sama sekali dalam saingan sengit apabila strategi berkenaan gagal sehinggakan parti itu terpaksa berdepan tamparan paling hebat apabila disahkan kehilangan wang pertaruhan (deposit) di kerusi yang ditandingi akibat gagal menarik sokongan pengundi,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Tidak hanya Bersama malah Pas turut mengalami nasib yang sama apabila gagal mempertahankan satu-satunya kerusi sebelum ini di DUN N15 Maharani.
“Kekalahan Pas kali ini turut berpunca daripada kegagalan strategi lapuk parti itu sendiri yang tidak menjadi. Walaupun Tan Sri Annuar Musa sebelum ini yang menyatakan strategi mereka adalah untuk mengalihkan undi kepada Barisan Nasional (BN) sehingga menyebabkan Pas pulang dengan tangan kosong tanpa sebarang kerusi.
“Realiti landskap politik pasca-PRN Johor ini membuktikan Barisan Nasional (BN) sebenarnya langsung tidak memerlukan Pas.
“Sebaliknya, Pas yang dilihat lebih memerlukan BN untuk kelangsungan politik mereka. Jelas, Pas sememangnya tidak mempunyai tempat di Johor,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai masa depan parti Bersama berikutan kehilangan deposit di Johor, Azmi berkata, parti itu kini tidak lagi mempunyai pilihan selain menilai semula hala tuju mereka.
“Kekalahan itu memberi impak besar yang menunjukkan Bersama tidak lagi boleh bergerak secara bersendirian (solo) dalam PRN akan datang sekiranya mahu kekal relevan.
“Sebagai langkah ke hadapan, mungkin Bersama boleh meneroka ruang kerjasama politik baharu dengan parti-parti lain seperti Bersatu dan Parti Muda Rakyat Malaysia (Muda) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sembilan,” katanya.
Katanya, langkah kolaborasi itu dilihat lebih praktikal bagi membina blok pembangkang atau alternatif yang lebih ampuh berbanding bergerak secara sendirian yang terbukti membawa rebah di Johor.
Tambahnya, Pas juga memerlukan percaturan politik baharu andai mahu kekal relevan.
“Nasib Pas sangat berbeza, tidak seperti Kelantan, Terengganu mahupun Kedah. Ini senario sebenar apabila di sebelah Selatan ia sukar mendapat tempat, kerana itu perlu ada percaturan baharu,” katanya. – MalaysiaGazette
















