Zulkifli Bujang

JOHOR BAHRU – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 seharusnya menjadi titik muhasabah terhadap Perikatan Nasional (PN) Johor yang kalah teruk dan gagal menang sebarang kerusi.

Penyelaras Majlis Perhubungan Parti Wawasan Negara Negeri Johor, Datuk Zulkifli Bujang berkata, sudah tiba masa untuk melakukan pembaharuan yang sebenar termasuk menilai semula corak kepimpinan, budaya organisasi dan pendekatan politik yang diamalkan.

“Wawasan Johor percaya bahawa politik masa hadapan perlu dipimpin oleh barisan kepimpinan yang lebih terbuka, lebih merendah diri untuk mendengar pandangan dan lebih bersedia membina kesepakatan demi kepentingan rakyat.

“Wawasan Johor berpandangan bahawa kemerosotan ketara sokongan terhadap PN pada PRN Johor kali ini tidak boleh dipisahkan daripada kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berlarutan sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, konflik kepimpinan, perpecahan dalaman dan kegagalan menyelesaikan pelbagai isu organisasi akhirnya bukan sahaja melemahkan Bersatu sebagai parti komponen, malah turut mengheret keseluruhan PN menerima kesan politik yang besar.

Beliau berkata, rakyat melihat apa yang berlaku dan nereka mahukan sebuah gabungan stabil, tersusun dan mampu menawarkan kepimpinan yang meyakinkan.

Sebaliknya dakwa beliau, apa yang dipaparkan kepada rakyat ialah pertelagahan berpanjangan dan kegagalan mengurus perbezaan secara matang.

Lebih mendukacitakan, katanya, pelbagai teguran daripada pimpinan dan akar umbi mengenai kelemahan kepimpinan Bersatu serta pengurusan PN di Johor sudah disuarakan sejak tahun 2024.

Namun menurutnya, pandangan tersebut tidak diberikan perhatian yang sewajarnya sekaligus gagal memahami sentimen akar umbi dan seterusnya harapan rakyat.

Wawasan Johor, katanya, mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat negeri ini yang sudah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam PRN Johor ke-16.

“Peningkatan kadar keluar mengundi berbanding PRN Johor pada 2022 membuktikan bahawa Bangsa Johor semakin matang dalam menghayati demokrasi dan menentukan sendiri hala tuju negeri,” ujarnya.

Tambahnya, Wawasan Johor menghormati sepenuhnya keputusan yang dibuat dan setiap keputusan itu membawa mesej yang perlu diterima dengan hati terbuka dan dinilai secara jujur.

Pada PRN Johor ke-16, Bersatu bertanding di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atas tiket PN namun tewas semua kerusi ditandingi termasuk di Bukit Kepong selepas dua penggal memenanginya menerusi bekas Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Pas pula bertanding di 11 kerusi manakalaBParti Rakyat India Malaysia (MIPP) bertanding Lima kerusi yang kedua-duanya atas tiket PN turut tewas di semua kerusi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast