KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut manakala dua lelaki cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam nahas dua kenderaan di Kilometer 298.9, Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.45 pagi.
“Siasatan polis mendapati, kemalangan berlaku apabila pemandu Perodua Bezza bewarna coklat bersama dua penumpang dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan lalu melanggar penghadang besi di sebelah kanan dan berpusing.
“Kemudian datang sebuah kereta berwarna putih dari arah belakang melanggar Perodua Bezza dan meninggalkan lokasi kejadian.
“Akibat perlanggaran itu, penumpang Perodua Bezza iaitu wanita berusia 27 tahun maut ditempat kejadian, manakala pemandu lelaki berumur 20 tahun dan seorang penumpang lelaki berusia 22 tahun cedera serta sedang dirawat di Zon Merah dan Zon Kuning Hospital Serdang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan Inspektor Ahmad Zahrein Muhd Suod di talian 017–3818422.
“Pihak Polis menasihatkan kepada pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan sentiasa berhati-hati semasa memandu,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















