Logo Jabatan Imigresen Malaysia.

KUALA LUMPUR – Seramai 98 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas pemeriksaan terhadap 1,183 individu dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di sekitar Lorong Payang dan Lorong Batu Tiga, Kawasan 15 Klang serta Taman Alam Megah, Shah Alam, semalam.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dalam kenyataan memaklumkan, operasi yang bermula pukul 10 pagi itu menyasarkan beberapa premis perniagaan di kawasan terbabit yang dipercayai menggaji atau dikendalikan oleh warga asing.

Seramai 256 pegawai daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi berkenaan.

“Daripada 98 warga asing yang ditahan, majoritinya adalah warga Bangladesh iaitu seramai 47 orang, diikuti Indonesia (15), India (12), Myanmar (12), Nepal (11) dan seorang lagi daripada negara lain.

“Kesemua tahanan berusia antara 20 hingga 56 tahun membabitkan 91 lelaki dan tujuh wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut JIM, semua yang ditahan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Siasatan awal mendapati, mereka melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, antaranya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat pas serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Operasi bersepadu itu melibatkan penyertaan 240 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia, enam pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), lima pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan lima pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Dalam operasi sama, JIM turut mengeluarkan dua Borang 29 (Saman kepada Saksi) kepada dua warganegara Malaysia bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast