SATU kajian terbaharu oleh penyelidik perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati kira-kira satu daripada empat individu obes di negara ini mungkin mengalami obesiti sarkopenik. Keadaan ini merujuk kepada situasi di mana seseorang mempunyai kandungan lemak badan yang berlebihan, namun pada masa yang sama memiliki jisim otot yang tidak mencukupi berbanding jumlah lemak tersebut.
Penemuan signifikan ini telah diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Frontiers in Nutrition menerusi artikel bertajuk “Prevalence and longitudinal development of sarcopenic obesity in an Asian obese population: a large bioelectrical impedance analysis study”. Kajian berskala besar ini diketuai oleh Dr. Loo Guo Hou, Pensyarah Perubatan dan Pakar Bariatrik bersama Prof. Madya Datuk Dr. Nik Ritza Kosai Pensyarah Perubatan & Pakar Perunding Bedah Gastroenterologi & Bariatrik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM.
Pasukan penyelidik turut dianggotai oleh Farhana Raduan, Pegawai Penyelidik, Jabatan Surgeri, dan Zunaidah Abu Samah dari Unit Fisioterapi, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, HCTM.

BMI sahaja tidak cukup mengesan risiko
Kajian klinikal yang dijalankan antara tahun 2017 hingga 2025 ini melibatkan seramai 2,410 orang dewasa dengan Indeks Jisim Badan (BMI) sekurang-kurangnya 25 kg/m2. Semua peserta menjalani analisis komposisi badan menggunakan kaedah
Bioelectrical Impedance Analysis (BIA) di HCTM UKM.
Dr. Loo Guo Hou menjelaskan, obesiti sarkopenik adalah satu keadaan yang masih kurang difahami oleh masyarakat umum, walaupun ia mempunyai implikasi penting terhadap kesihatan metabolik, kekuatan fizikal, dan fungsi harian pesakit.
“Ramai orang menganggap bahawa individu obes semestinya mempunyai otot yang banyak kerana berat badan mereka tinggi. Sebenarnya, berat badan yang tinggi tidak bermaksud komposisi badan itu sihat,” katanya.
Dalam obesiti sarkopenik, pesakit mungkin kelihatan besar, tetapi nisbah otot kepada lemak adalah rendah. Ini boleh menyebabkan mereka lebih mudah letih, kurang kuat, sukar bersenam dan berisiko mengalami masalah metabolik.
Menurut kajian itu, apabila kriteria tradisional berasaskan indeks jisim otot rangka digunakan, hanya 0.12 peratus individu dikenal pasti mengalami masalah ini.
Bagaimanapun, apabila definisi yang lebih menekankan aspek keseimbangan antara lemak dan otot digunakan, kadar prevalens melonjak kepada 25 peratus. Perbezaan besar ini menunjukkan bahawa kaedah penilaian tradisional atau pergantungan kepada berat badan dan BMI semata-mata tidak lagi mencukupi untuk mengesan risiko berkenaan dalam kalangan pesakit obesiti.
Anjakan paradigma rawatan obesiti moden
Sementara itu, Prof. Madya Dato’ Dr. Nik Ritza Kosai menegaskan matlamat utama rawatan bukan lagi sekadar melihat penurunan angka pada penimbang, sebaliknya memastikan penurunan berat badan itu berkualiti iaitu pengurangan lemak, pemeliharaan otot, dan peningkatan fungsi tubuh.
Menurut beliau, obesiti sarkopenik memerlukan pendekatan rawatan pelbagai disiplin yang melibatkan pakar bedah, pakar perubatan, pegawai dietetik, ahli fisioterapi, dan pasukan kesihatan primer melalui pemantauan jangka panjang.
Kajian ini turut membuktikan bahawa komposisi badan boleh berubah mengikut masa. Berdasarkan rekod susulan BIA, terdapat sebahagian individu yang pada awalnya tidak mengalami obesiti sarkopenik, akhirnya diklasifikasikan semula ke dalam
kumpulan tersebut akibat faktor pemakanan, aktiviti fizikal, penuaan, ubat-ubatan, atau kaedah penurunan berat badan yang salah.
Kepentingan latihan kekuatan dan pemeliharaan otot
Dari aspek pemulihan, Puan Zunaidah Abu Samah, mengingatkan apabila seseorang menurunkan berat badan, kehilangan yang dimahukan adalah lemak, bukannya otot. Kehilangan otot boleh menyebabkan pesakit menjadi lebih lemah,
kurang stabil, cepat letih, dan sukar mengekalkan aktiviti harian.
Untuk menangani isu ini, latihan fizikal yang sesuai seperti latihan kekuatan atau rintangan memainkan peranan penting. Bagaimanapun, beliau menasihati orang ramai agar tidak bimbang kerana senaman boleh dimulakan secara mudah dan berperingkat mengikut kemampuan, seperti:
1. Senaman bangun-duduk dari kerusi
2. Tekan tubi pada dinding (wall push-up)
3. Latihan menggunakan tali kenyal (resistance band)
4. Berjalan kaki secara berkala dan latihan imbangan
Langkah pencegahan
Memandangkan populasi di Asia mempunyai risiko metabolik yang boleh berlaku pada tahap BMI yang lebih rendah berbanding populasi di negara-negara Barat, Dr. Loo Guo Hou menyarankan beberapa langkah proaktif bagi mengurangkan risiko obesiti
sarkopenik:
1. Nutrisi yang Cukup: Memastikan pengambilan protein yang mencukupi, terutamanya bagi pesakit yang menjalani pembedahan bariatrik atau rawatan ubat kurus bagi mengelakkan penyusutan otot yang drastik.
2. Senaman Konsisten: Mengamalkan latihan kekuatan beberapa kali seminggu bagi memelihara jisim otot.
3. Gaya Hidup Sihat: Menjaga kualiti tidur serta mengawal penyakit metabolik sedia ada seperti diabetes, darah tinggi, dan kolesterol.
4. Pemeriksaan Komposisi Badan: Menjalani analisis BIA di samping ujian rutin seperti ukuran lilit pinggang dan pemeriksaan darah untuk saringan awal yang lebih tepat.
“Mesej utama kajian ini ialah masyarakat perlu mengubah cara melihat obesiti. Obesiti bukan sekadar isu berat badan. Ia adalah isu komposisi badan, metabolisme, fungsi, dan kesihatan jangka panjang. Berat badan hanyalah satu nombor,” tegas Dr. Loo Guo Hou. – MalaysiaGazette
















