PUTRAJAYA – Pasukan pembelaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan pembebasan Ahli Parlimen Muar itu sebagai bukti keadilan akhirnya berjaya ditegakkan selepas proses perundangan yang panjang.
Peguam utama Syed Saddiq, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, keputusan panel tiga hakim itu dibuat berdasarkan penilaian terhadap fakta dan keterangan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.
“Alhamdulillah, keputusan telah pun diumumkan dan kami bersyukur dengan penghakiman yang diberikan Mahkamah Persekutuan.
“Mahkamah mendapati bagi pertuduhan pertama, tiada bukti yang mencukupi untuk menyokong sabitan.
“Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat pula, mahkamah turut membuat dapatan yang jelas bahawa sabitan itu tidak selamat untuk dikekalkan,” katanya kepada media di lobi mahkamah hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu telah mengesahkan dapatan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan Syed Saddiq daripada semua pertuduhan.
Hisyam turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan pembelaan yang bersama-sama mengendalikan kes berkenaan sejak peringkat Mahkamah Tinggi lagi.
Beliau menamakan Datuk Ambiga Sreenevasan, Datuk Yusof Zainal Abiden serta Gobind Singh Deo sebagai antara peguam yang memainkan peranan penting sepanjang prosiding tersebut.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan peguam yang telah bertungkus-lumus sepanjang kes ini.
“Kami juga berterima kasih kepada Syed Saddiq dan keluarganya kerana terus memberikan kepercayaan kepada pasukan pembelaan selama ini,” ujarnya.
Sementara itu, Ambiga berkata, keputusan berkenaan amat melegakan selepas enam tahun Syed Saddiq berdepan proses mahkamah.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Hisyam yang memimpin pasukan pembelaan dengan begitu cemerlang.
“Ada ketika kita sendiri dapat merasakan apabila keadilan akhirnya ditegakkan, dan saya percaya itulah yang kami semua rasai hari ini.
“Saya sangat gembira untuk Syed Saddiq yang telah melalui tempoh enam tahun yang cukup mencabar. Kepada beliau dan keluarganya yang terus tabah sepanjang proses ini, saya ucapkan tahniah.
“Kami berharap dapat melihat Syed Saddiq kembali meneruskan perjuangannya,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pendakwaan sekaligus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada). – MalaysiaGazette
















