Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika hadir bagi mendengar keputusan rayuan akhir untuk mengetepikan pembebasannya bagi sabitan dan hukuman kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 JULAI 2026

PUTRAJAYA – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman masih berstatus Ahli Parlimen Muar selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan pembebasannya berkaitan kes penyelewengan RM1 juta dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Perkara itu dimuktamadkan melalui keputusan majoriti 2-1 yang membebaskan Syed Saddiq selepas panel hakim menolak rayuan akhir pendakwa raya.

Dua anggota koram bersidang, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah mengekalkan pembebasan Ahli Parlimen Muar itu daripada keempat-empat pertuduhan.

Sementara itu, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mengetuai panel tersebut turut membebaskan Syed Saddiq daripada pertuduhan pertama bersubahat pecah amanah wang RM1 juta.

Bagaimanapun, beliau mencapai keputusan menentang dan mendapati Syed Saddiq bersalah terhadap tiga pertuduhan – satu pertuduhan salah guna harta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Hakim Abu Bakar menjatuhkan wakil rakyat itu dengan hukuman penjara enam bulan, denda RM5 juta dan penjara dua tahun jika gagal membayar denda.

Keputusan majoriti 2-1 itu turut mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskannya daripada keempat-empat pertuduhan.

Galeri awam yang dipenuhi ahli keluarga dan para penyokong Syed Saddiq, bertepuk tangan kegembiraan selepas mahkamah menyampaikan keputusan tersebut.

Tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Kedudukan Syed Saddiq, 34, sebagai Ahli Parlimen ditentukan berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan menyatakan seseorang itu tidak layak menjadi calon pilihan raya sekiranya dijatuhi hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan di bawah peruntukan sama, seseorang wakil rakyat boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen sekiranya dijatuhi hukuman sama.

Kehilangan kelayakan ini boleh dibatalkan atau tidak terpakai jika Ahli Parlimen tersebut menerima pengampunan penuh (pengampunan diraja) daripada Yang di-Pertuan Agong atau Sultan/Yang di-Pertua Negeri mengikut bidang kuasa masing-masing.

Sepanjang prosiding rayuan, pendakwaan selaku perayu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan.

Sementara Syed Saddiq, 34, selaku responden diwakili barisan peguam diketuai oleh Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di ibu negara, pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di ibu negara, antara 8 dan 21 April 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast