Lelaki warga Bangladesh menangis agar dilepaskan dengan alasan sudah beli tiket penerbangan pulang ke negara asal ketika ditahan JIM Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga Bangladesh menangis dan merayu agar dibebaskan selepas ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang di beberapa premis perniagaan sekitar daerah Timur Laut, hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette ketika serbuan mendapati lelaki terbabit merayu supaya tidak ditahan dengan alasan sudah membeli tiket penerbangan untuk pulang ke Bangladesh pada keesokan hari.

Bagaimanapun, dia tetap dibawa bersama individu lain bagi membantu siasatan mengikut prosedur ditetapkan.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Syamsul Fitry Ahmad berkata, operasi bermula jam 9 pagi itu dijalankan hasil risikan serta aduan diterima membabitkan empat premis perniagaan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang.

Beliau berkata, seramai 35 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, 21 pendatang asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Syamsul Fitry.

“Daripada jumlah itu, tiga adalah lelaki Bangladesh, 15 lelaki India dan tiga lelaki Myanmar yang berusia antara 18 hingga 51 tahun.

“Antara kesalahan dikenal pasti ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta memegang kad yang tidak diiktiraf selain kesalahan lain di bawah Akta Imigresen,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan, hari ini.

Mengulas kejadian seorang lelaki Bangladesh yang menangis ketika ditahan, beliau berkata, individu terbabit mendakwa bekerja di sebuah hotel dan datang ke premis itu untuk membeli barang, selain merayu dilepaskan.

“Macam-macam alasan diberi apabila mereka ditahan. Kita akan semak semua dakwaan itu daripada pelbagai sudut termasuk mendapatkan kenyataan mereka dan majikan sebelum menentukan kesalahan dilakukan.

“Selain itu semakan turut mendapati terdapat warga asing yang tinggal melebihi tempoh dibenarkan sehingga tiga tahun selepas memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong,” katanya.

Kesemua tangkapan dibawa ke pejabat JIM Pulau Pinang bagi siasatan lanjut.

Mengulas mengenai tindakan warga asing yang memberi pelbagai alasan ketika diperiksa, Syamsul Fitry berkata, ada yang mendakwa hanya datang membeli-belah walaupun siasatan awal dan risikan mendapati mereka dipercayai bekerja sebagai pembantu di premis berkenaan.

“Kebanyakan alasan diberikan ialah mereka datang membeli barang. Ada juga yang mendakwa bekerja di tempat lain, namun hadir ke premis itu hanya untuk membeli-belah.

“Bagaimanapun, hasil risikan awal mendapati terdapat unsur mereka bekerja di situ dan perkara itu akan disiasat lanjut termasuk mendapatkan keterangan daripada mereka serta majikan.

“Kesemua mereka dibawa ke pejabat imigresen bagi siasatan lanjut termasuk mendapatkan keterangan daripada majikan atau saksi sebelum ditempatkan di depot tahanan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast