Rozi (tiga kiri) dan Mas Imran (tengah) dalam Pelancaran Kempen Bina Semula Gaza Sempena MRT 4.0 di Pasaraya Econsave di Taman Teratai, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Situasi di Gaza, Palestin semakin meruncing walaupun selepas gencatan senjata kerana ramai kanak-kanak kebuluran, kekurangan kemudahan perubatan, rawatan, persekolahan dan penduduknya hidup sebagai pelarian.

Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani berkata, isu kemanusiaan tersebut masih menghantui hidup mereka dalam keadaan penduduk dunia beranggapan kehidupan mereka semakin baik ketika ini.

Beliau berkata, situasi selepas perang juga meruncing apabila bantuan disalurkan tidak mencukupi, oleh itu mereka berdepan dengan pelbagai kesukaran.

Menurutnya, pembinaan semula Gaza mengambil masa berdekad dan bantuan disalurkan rakyat Malaysia amat bermakna bagi membolehkan mereka menghadapi kesukaran.

“Konflik yang berlaku bertahun-tahun meninggalkan kesan yang mendalam.

“Demi membangkitkan semula kesedaran ini, Mycare Johor dengan Pasaraya Econsave Cash And Carry melancarkan Kempen Bina Semula Gaza pada hari ini (semalam) Sempena MRT 4.0 yang akan bermula pada 8 Ogos depan.

“MRT bermaksud Mycare Road Tour dan sasaran kutipan bagi road tour ini yang akan menjelajah seluruh Johor adalah sebanyak RM150,000.

“Pelbagai aktiviti bakal dijalankan sempena road tour ini bagi mendekati masyarakat serta membangkitkan kesedaran membantu Gaza,” katanya.

Rozi dan Mas Imran melawat ruang pameran sempena Pelancaran Kempen Bina Semula Gaza Sempena MRT 4.0 di Pasaraya Econsave di Taman Teratai, Johor Bahru, semalam.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar sempena Pelancaran Kempen Bina Semula Gaza Sempena MRT 4.0 di Pasaraya Econsave di Taman Teratai di sini semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam.

Sempen majlis pelancaran turut diadakan pameran MyCARE, pertandingan mewarna kanak-kanak dan kuiz.

Sementara itu, Mas Imran berkata, mulai awal tahun sehingga kini, pasar raya berkenaan dengan kerjasama MYCARE Johor berjaya mencatat kutipan dana RM1.3 juta bagi Gaza.

Beliau berkata, pihaknya sedang meningkatkan usaha bagi terus membantu Gaza.

“Alhamdullilah setakat ini kita berjaya memberi bantuan air bersih, membina semula sekolah dan edarkan food pack.

“Kita berterima kasih kepada pelanggan pasar raya ini yang menyalurkan sumbangan dan berharap mereka juga memberi sambutan kepada Kempen Bina Semula Gaza ini,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast