KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) menggesa kerajaan melaksanakan semakan bebas dan menyeluruh terhadap proses serta dokumen pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain naturalisasi bola sepak negara selaras dengan syor Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
Pemangku Ketua Pemudanya, Lee Boon Shian turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan rekod jejak audit mandatori bagi setiap permohonan kewarganegaraan yang diproses melalui saluran khas atau dipercepatkan.
Selain itu, kerajaan juga perlu memperkukuh penyelarasan antara Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan semua agensi tapisan berkaitan bagi memastikan proses kewarganegaraan dilaksanakan secara teratur, konsisten dan boleh dipertanggungjawabkan.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyatakan bahawa penemuan dan syor EAIC akan diteliti bersama agensi berkaitan.
“Namun, memandangkan proses pemberian kewarganegaraan melibatkan semakan dan tapisan beberapa agensi kerajaan, satu lagi semakan dalaman semata-mata tidak mencukupi untuk menjawab persoalan yang telah dibangkitkan.
“Bagaimana proses sepenting ini boleh dilaksanakan dalam tempoh terlalu singkat dan secara tidak teratur tanpa kelemahan tersebut dikesan lebih awal?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beberapa hari lalu, EAIC mengesyorkan KDN dan JPN menyemak semula keseluruhan proses serta dokumen kewarganegaraan secara penaturalisasian yang diberikan kepada tujuh pemain berkenaan mengikut Perkara 19(2) Perlembagaan Persekutuan.
Ini kerana suruhanjaya itu mendapati proses pertimbangan kelulusan khas kewarganegaraan pemain berkenaan dibuat dalam tempoh terlalu singkat dan secara tidak teratur, termasuk dalam aspek permit masuk, temu duga, tapisan keselamatan serta ujian penguasaan bahasa Melayu.
Suruhanjaya itu turut menemukan ketidakpatuhan dalam pengesahan pelepasan kewarganegaraan asal dan penyerahan pasport asing sebelum pemain berkenaan diberikan kewarganegaraan Malaysia.
EAIC kemudian mengesyorkan KDN dan JPN menyemak semula keseluruhan proses serta dokumen kelulusan tujuh pemain itu, selain mewujudkan SOP dan garis panduan lebih jelas bagi permohonan kewarganegaraan secara penaturalisasian.
Tambah Boon Shian, walaupun sukan merupakan perkara penting kepada negara namun ia bukan alasan untuk mengenepikan integriti sistem kewarganegaraan, prinsip kesaksamaan dan kedaulatan negara.
Ini kerana kewarganegaraan merupakan antara status perundangan tertinggi yang diberikan oleh negara dan tidak boleh diproses secara tergesa-gesa atas apa jua kepentingan.
Katanya lagi, rakyat biasa perlu melalui proses permohonan kewarganegaraan yang panjang, mengemukakan pelbagai dokumen sokongan, malah ada dalam kalangan mereka yang terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan keputusan.
“Apabila EAIC sendiri membangkitkan persoalan mengenai proses tujuh pemain ini yang dilaksanakan dalam tempoh terlalu singkat dan tidak teratur, rakyat berhak bertanya: Mengapa sesetengah permohonan boleh diproses dengan begitu pantas sedangkan ramai pemohon lain terus menunggu tanpa kepastian?” soal beliau lagi.
Malaysia sebelum diselebungi kontroversi selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menghukum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain berkenaan susulan penggunaan dokumen yang dipalsukan bagi urusan kelayakan mewakili Malaysia.
Susulan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala tujuh pemain terbabit masing-masing didenda CHF2,000 (RM10,090) dan digantung daripada aksi antarabangsa selama 12 bulan.
FAM bagaimanapun mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang kemudian mengekalkan dapatan berhubung pemalsuan dokumen, namun memutuskan penggantungan pemain hanya terpakai kepada perlawanan antarabangsa dan tidak menghalang mereka daripada menjalani latihan bersama kelab masing masing.
Tujuh pemain terbabit ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel. -MalaysiaGazette















