JOHOR BAHRU – Kehidupan penyanyi kumpulan nasyid, Zek Ayry Khan Zarak Khan, 47, dan isteri, Noor Diana Hashim, 47, menerima ujain berat apabila masing-masing menghidap penyakit kritikal.
Menurut Noor Diana, dia menghidap barah payudara pada 2021 dan menjalani pembedahan pada 2022 manakala suaminya pula menderita kanser hidung pada 2023.
“Bukan hanya menghidapi barah, saya dan suami ketika ini mengalami pelbagai komplikasi akibat sel kanser merebak. Kanser hidung suami merebak hingga ke tulang hingga dia menjalani pembedahan pada dua tahun lalu dengan bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
“Suami saya disahkan kurang upaya dan tidak mampu bekerja mulai Jun lalu.
“Kami diuji lagi apabila saya disahkan mengalami Limfedema iaitu cecair limfa terkumpul dipercayai kesan menjalani pembedahan payudara menyebabkan bengkak pada lengan.
“Ini mengakibatkan saya berdepan kesulitan bagi mengurus suami yang hanya mampu bergerak dengan kerusi roda,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid di rumahnya di Kempas di sini.
Noor Diana bersyukur kerana berjaya menjalani pembedahan membuang kelenjar Limfedema pada minggu lalu di MSU Medical Centre di Kuala Lumpur.
Menurutnya, MAINJ membiayai kos sejumlah RM15,600 selain keluarganya juga dinasihatkan supaya memohon bantuan bulanan bagi perubatan, pembelian ubat-ubatan selain lampin pakai buang dan susu.
“Bengkak tangan saya sudah susut selain luka pembedahan juga semakin sembuh. Buat masa ini, kami terputus punca pendapatan namun saya berusaha membantu rakan dengan berniaga atas talian.
“Hanya Allah dapat membalas jasa pembayar zakat, MAINJ dan semua hanya mempermudah urusan kami,” katanya.
Sementara itu, Mohd Fared berkata, MAINJ berjaya membantu ribuan pesakit kronik bagi meneruskan kehidupan serta menghadapi situasi yang sukar.
“Malah di bawah misi membasmi kemiskinan, Johor melakar sejarah penting apabila berjaya mencapai status sifar miskin tegar pada April 2025 melalui penyaluran bantuan sara hidup dan perubatan yang sistematik oleh MAINJ berjumlah lebih RM26.5 juta.
“Alhamdullilah, bantuan itu amat bermakna bagi mereka mahupun keluarga.
“Tidak dinafikan semua ini keberkesanan pengurusan zakat, infaq, dan wakaf membolehkan kutipan zakat meningkat secara konsisten sehingga mencecah RM449 juta pada 2025, yang secara langsung memperkasa agenda kebajikan asnaf,” katanya.
Menurutnya, inisiatif lain yang dijalankan program ikonik seperti Semarak Subuh kini bertransformasi menjadi sebuah gerakan ummah yang menyatukan pelbagai lapisan generasi.
Katanya, inisiatif Infaq Jumaat pula berjaya menyantuni lebih 1.42 juta rakyat Johor hanya dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, membuktikan bahawa Islam di Johor adalah agama yang memberi dan memuliakan setiap insan tanpa meninggalkan sesiapa pun di belakang.
“Malah pembangunan prasarana pendidikan dan kebajikan para pendidik turut menjadi keutamaan yang tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh perkhidmatan.
“Melalui peruntukan gabungan kerajaan negeri dan Jabatan Kemajuan Islam yang berjumlah hampir RM79 juta, kita menggerakkan lebih 700 projek baik pulih sekolah agama bagi memastikan anak-anak Johor belajar dalam suasana yang kondusif.
“Lebih bermakna, kebajikan guru-guru agama serta pegawai masjid dan surau tidak dilupakan menerusi pelaksanaan kenaikan pangkat Time-Based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK) serta lonjakan elaun sehingga 100 peratus bagi petugas masjid,” katanya.- MalaysiaGazette
















