Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika hadir bagi mendengar keputusan rayuan akhir untuk mengetepikan pembebasannya bagi sabitan dan hukuman kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 JULAI 2026

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan berpendapat, wang RM120,000 yang dikeluarkan dari akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) bukan milik Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais sebaliknya berkata, wang tersebut dikutip daripada penderma sempena kempen pilihan raya pada 2018.

Sewaktu membacakan keputusan minoriti, beliau menyatakan, oleh kerana wang itu merupakan hasil kutipan daripada penderma, ia sepatutnya disalurkan untuk tujuan berkempen bukan digunakan sesuka hati.

Ujar beliau, wang itu yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Maybank responden (Syed Saddiq) kemudian dipindahkan ke dalam akaun pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya.

“Sekiranya wang tersebut benar-benar milik responden, timbul persoalan mengapakah perlu adanya aliran transaksi yang begitu rumit?

“Bermula daripada akaun ABBE ke akaun Maybank responden dan seterusnya ke akaun ASB Responden.

‘Mengapakah wang tersebut tidak disalurkan terus ke akaun Maybank atau akaun ASB responden?; soalnya beliau ketika menyampaikan keputusan menentang.

Hakim Abu Bakar selanjutnya berpendapat, dapatan fakta Mahkamah Tinggi (yang kemudian diakui Mahkamah Rayuan) menunjukkan wang tersebut untuk digunakan bagi kempen pilihan raya Syed Saddiq.

Namun, ujar beliau, sebelum kempen pilihan raya bermula dan beberapa hari selepas wang itu dikumpul melalui aktiviti pengumpulan dana, Syed Saddiq mengarahkan Rafiq Hakim Razali (ketika itu Penolong Bendahari Armada) memindahkan wang tersebut daripada akaun ABBE ke akaun Maybank miliknya.

“Perlu diambil perhatian bahawa tempoh kempen adalah dari 28 April 2018 hingga 9 Mei 2018.

“Walau bagaimanapun, hanya beberapa hari sebelum bermulanya tempoh ini iaitu antara 8 April 2018 hingga 21 April 2018, wang tersebut telah dipindahkan ke akaun peribadi responden di Maybank.

“Penyelewengan secara tidak jujur ​​juga terbukti kerana penderma tidak pernah dimaklumkan oleh responden bahawa beliau akan mengambil wang tersebut dan memasukkannya ke dalam akaun peribadinya sebagai bayaran balik bagi wang yang didakwa telah dibelanjakannya.

“Tiada bukti yang menunjukkan bahawa aktiviti pengumpulan dana tersebut diadakan bagi membayar balik responden untuk sebarang perbelanjaan yang ditanggung bagi pilihan rayanya sebelum aktiviti pengumpulan dana itu dijalankan,” ujarnya.

Berkaitan dua pertuduhan pengubahan wang haram, Hakim Abu Bakar berpendirian, wang RM50,000 bagi setiap pertuduhan berpunca daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Menurut beliau, wang itu diperoleh daripada para penyumbang untuk kempen pilihan raya namun tujuan kempen pilihan raya itu tidak tercapai seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.

Oleh yang demikian, Hakim Abu Bakar mensabitkan Syed Saddiq terhadap pertuduhan salah guna harta RM120,000 dan dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000.

Bagi pertuduhan salah guna harta, beliau menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan satu sebatan.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Hakim Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM5 juta bagi setiap pertuduhan dan jika gagal membayarnya, dia dikenakan penjara dua tahun masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast