Datuk Iskandar Abdul Samad. foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2019
Iskandar A. Samad.

KUALA LUMPUR – Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) menggesa kerajaan merombak pendekatan perancangan perumahan negara susulan pendedahan sebanyak 32,800 unit kediaman siap dibina bernilai RM16.3 bilion masih tidak terjual setakat suku pertama 2026.

Ketuanya, Datuk Iskandar A Samad berkata, situasi itu membuktikan Malaysia tidak hanya berdepan isu kekurangan rumah, sebaliknya wujud ketidakpadanan antara rumah yang dibina dengan permintaan sebenar rakyat.

“Pendedahan ini menunjukkan kelemahan dalam perancangan perumahan negara apabila rumah yang dibina tidak sepadan dengan kemampuan penduduk, lokasi pekerjaan dan keperluan setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu di Dewan Rakyat pada 29 Jun lalu yang mendedahkan angka berkenaan.

Menurut Iskandar, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila ramai rakyat khususnya golongan B40 dan M40 masih menyewa dan tinggal bersama ibu bapa.

“Malah ada yang menangguhkan hasrat membeli rumah kerana harga tidak sepadan dengan pendapatan, lokasi kurang strategik dan kesukaran mendapatkan pembiayaan,” katanya.

Selain itu, katanya, kejayaan dasar perumahan tidak boleh diukur berdasarkan jumlah unit dibina semata-mata, sebaliknya kepada keupayaan rakyat memiliki rumah sesuai dengan keperluan dan lokasi tempat mereka bekerja serta membesarkan keluarga.

“REACH mengalu-alukan komitmen kerajaan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

“Namun menegaskan pembinaan rumah baharu sahaja tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya proses perancangan kekal sama,” katanya.

Iskandar berkata, Malaysia perlu beralih daripada pendekatan berasaskan sasaran pembinaan kepada permintaan sebenar mengambil kira data penduduk, corak permintaan, peluang pekerjaan, jaringan pengangkutan awam dan kemampuan isi rumah di sesuatu kawasan.

“Sebelum sesuatu projek diluluskan, kerajaan wajar memastikan analisis permintaan yang menyeluruh dilaksanakan bagi mengelakkan pembinaan rumah di lokasi yang kurang mendapat sambutan atau menawarkan jenis serta harga yang tidak memenuhi keperluan pasaran setempat,” katanya.

Menurutnya, tidak wajar ribuan rumah kekal tidak terjual sedangkan ramai rakyat yang mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap masih gagal membeli rumah pertama kerana tidak memenuhi syarat pembiayaan institusi kewangan.

REACH juga mencadangkan kadar pemilikan rumah dalam kalangan rakyat dijadikan petunjuk utama kejayaan dasar perumahan negara, bukannya jumlah rumah yang dibina.

“Kerajaan perlu mewajibkan analisis permintaan dan kemampuan isi rumah bagi setiap projek perumahan baharu sebelum kelulusan diberikan dan menilai semula lokasi projek supaya berhampiran pusat pekerjaan, pengangkutan awam dan kemudahan asas.

“Mekanisme pembiayaan perlu diperkenalkan agar lebih fleksibel khusus untuk pembeli rumah pertama.

“Mengurangkan ketidakpadanan antara rumah yang dibina dengan permintaan sebenar pasaran melalui perancangan berasaskan data.

“Menjadikan kadar pemilikan rumah rakyat sebagai petunjuk utama kejayaan dasar perumahan negara,” katanya.

Iskandar turut menegaskan, perumahan bukan sekadar komoditi ekonomi, sebaliknya keperluan asas yang menyumbang kepada kesejahteraan keluarga, pembangunan masyarakat dan kestabilan negara.

“Masalah perumahan negara bukan lagi sekadar membina lebih banyak rumah, tetapi membina rumah yang benar-benar diperlukan dan mampu dimiliki oleh rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast