LONDON – Manchester United berjaya mendapatkan pemain tengah Brazil, Andrey Santos daripada Chelsea dengan kontrak sehingga Jun 2031 dengan yuran perpindahan awal sebanyak 48 juta pound (RM261.7 juta) selain tambahan 2 juta pound (RM10.90 juta) menerusi insentif berkaitan prestasi.
Kehadiran pemain muda berusia 22 tahun itu diumumkan kedua-dua kelab di laman web masing-masing.
Santos mengakui perpindahan ke Old Trafford adalah impian yang dipendam sejak kecil.
“Sejujurnya, sejak kecil lagi saya mengimpikan saat ini. Sejarah dan tanggungjawab yang datang bersama lencana kelab ini menjadi sebab saya berada di sini,” katanya menerusi video yang dimuat naik Manchester United di media sosial.

Santos menyertai Chelsea pada 2023 sebelum dipinjamkan ke Vasco da Gama, Nottingham Forest dan Strasbourg bagi menimba pengalaman.
Dia kembali ke Stamford Bridge pada musim 2025/2026 dan membuat 43 penampilan dalam semua pertandingan.
Selain itu, Santos turut dijangka memperkukuhkan pilihan pengendali United, Michael Carrick susulan kecederaan ligamen lutut dialami Manuel Ugarte ketika mewakili Uruguay pada Piala Dunia bulan lalu, yang dijangka menyaksikannya perlu berehat panjang.
Santos sudah membuat enam penampilan bersama skuad kebangsaan Brazil namun tidak tersenarai dalam skuad kendalian Carlo Ancelotti ke Piala Dunia 2026 yang menyaksikan Brazil tersingkir pada pusingan 16 terbaik. – Agensi
















