Tiga PATI yang menaiki bot fiber ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor kerana disyaki menjalankan aktiviti perikanan secara menyalahi undang-undang di perairan Pulau Ketam. Gambar: Ihsan Maritim Malaysia.

KUALA LUMPUR –  Tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menaiki sebuah bot fiber tidak berdaftar dan disyaki menjalankan aktiviti perikanan secara menyalahi undang-undang di perairan Pulau Ketam ditahan hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan rondaan rutin menerusi Op EHSAN, Op TIRIS 4.0 dan Op Khas Tanjung Siri 2 di kedudukan kira-kira 0.8 batu nautika di utara Pulau Klang.

Menurut beliau, bot fiber tanpa nombor pendaftaran itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum dipintas dan diperiksa oleh pasukan penguat kuasa.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong warga Indonesia berusia 26 tahun bersama dua awak-awak, masing-masing seorang warga Indonesia dan seorang warga Myanmar berusia antara 26 hingga 32 tahun.

“Kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati, bot tersebut sedang dalam perjalanan menuju ke sebuah kelong ikan di Pulau Ketam.

Katanya, tekong bot turut gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan vesel, sekali gus disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

Kesemua suspek bersama bot berkenaan kemudian diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana mengendalikan bot yang tidak berdaftar serta Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Dalam pada itu, Abdul Muhaimin menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang maritim, khususnya aktiviti perikanan haram dan kemasukan PATI yang boleh mengancam keselamatan serta menjejaskan sumber perikanan negara.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 bagi membolehkan tindakan segera diambil. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast