Timbalan Pengerusi Route Edge Sdn. Bhd., Datuk Zainol Abidin Mohamed

KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya Tapak Perkuburan Awam Wilayah Persekutuan di Hulu Semenyih akan diswastakan kepada syarikat Nirvana atau diserahkan kepada pihak bukan Islam adalah tidak benar sama sekali.

Itu penegasan Timbalan Pengerusi Route Edge Sdn. Bhd., Datuk Zainol Abidin Mohamed kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata, pengurusan tanah perkuburan itu kekal di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) manakala hak milik tanah terus berada di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan melalui Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

Menurutnya, pelbagai dakwaan yang tular sejak kebelakangan ini telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat sedangkan projek berkenaan dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan dan tidak melibatkan sebarang penyerahan hak milik atau pengurusan kepada pihak swasta.

“Tanah Perkuburan Islam di Semenyih adalah milik penuh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan melalui JWP dan kekal menjadi hak milik kerajaan.

“Pengurusan tanah perkuburan itu pula akan diuruskan sepenuhnya oleh JAWI. Tidak ada sebarang usaha atau hasrat JWP untuk menyerahkan pengurusan tanah perkuburan Islam di Semenyih kepada mana-mana syarikat swasta termasuk Nirvana,” tegasnya.

Mengulas dakwaan yang dibangkitkan oleh aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard serta beberapa pihak termasuk UMNO Batu, Zainol menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak berasas.

Beliau berkata, dakwaan tersebut sengaja dimainkan bagi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Melayu serta mengelirukan orang ramai berhubung status sebenar projek berkenaan.

Katanya, Route Edge hanya dilantik sebagai syarikat pelaksana pembangunan menerusi kaedah pertukaran tanah (land swap) dan tidak mempunyai sebarang kuasa terhadap pengurusan operasi tanah perkuburan selepas projek itu siap.

Beliau turut menjelaskan projek berkenaan bukan sekadar melibatkan pembinaan tanah perkuburan Islam sebaliknya merangkumi pembinaan Jalan Pintas Sungai Lalang sepanjang 4.3 kilometer.

Ia untuk makluman akan menjadi laluan awam tanpa tol bagi menghubungkan Jalan Sungai Lalang ke Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK).

“Jalan pintas ini akan memberi manfaat kepada penduduk setempat dengan mengurangkan kesesakan lalu lintas selain meningkatkan jaringan perhubungan di kawasan berkenaan.

“Pembinaan tanah perkuburan dan jalan pintas ini dilaksanakan secara serentak sebagai satu pakej pembangunan,” dedah beliau.

Menurut Zainol, kedua-dua projek itu tidak menggunakan dana kerajaan kerana dilaksanakan menerusi mekanisme pertukaran tanah, yang hanya akan dimuktamadkan selepas keseluruhan projek siap sepenuhnya.

“Ini bermakna tiada wang kerajaan digunakan bagi membangunkan projek ini dan proses pertukaran tanah hanya berlaku selepas semua komponen projek disiapkan mengikut spesifikasi yang dipersetujui,” katanya lagi.

Jelasnya, projek tersebut sebenarnya bukan sesuatu yang baharu kerana proses kelulusannya telah bermula sejak 2014 sebelum melalui pelbagai peringkat penelitian dan kelulusan oleh agensi berkaitan.

Namun katanya, pelaksanaan projek itu tertangguh selama beberapa tahun susulan pertukaran pentadbiran kerajaan serta perubahan kepimpinan di peringkat kementerian sebelum diteruskan semula.

Dalam perkembangan sama, Zainol berkata, Route Edge dan kerajaan telah memeterai perjanjian kerjasama pada 6 Julai lalu dan syarikat kini sedang melengkapkan semua syarat awal sebelum memasuki tapak pembinaan.

“Ketika ini kerja pembinaan belum dimulakan kerana kami masih melengkapkan syarat-syarat terdahulu. Jika semuanya berjalan lancar, kerja pembangunan dijangka boleh dimulakan seawal bulan depan,” katanya.

Projek yang dibangunkan di Lot PT3458, Mukim Hulu Semenyih itu berkonsepkan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah dan akan menyediakan lebih 104,000 lot kubur lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk surau, pejabat pentadbiran, kuarters pekerja, kafeteria, tandas dan rumah pengawal.

Berdasarkan unjuran JAWI, kapasiti tanah perkuburan itu dijangka mampu menampung keperluan pengebumian umat Islam di Kuala Lumpur bagi tempoh kira-kira 30 tahun.

Ini sekali gus mengatasi kekurangan kawasan perkuburan sedia ada di ibu negara yang kini menghampiri kapasiti maksimum.

Projek itu dijangka mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan sebelum diserahkan kepada JAWI bagi tujuan pengurusan dan operasi sepenuhnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast