KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker menyifatkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bersikap selektif apabila mempersoalkan pendirian MCA dan MIC susulan sokongan Pas terhadap calon Barisan Nasional (BN) di beberapa kerusi.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, pemimpin DAP itu sepatutnya melihat semula sejarah politik partinya sebelum mengkritik pihak lain.
Menurutnya, DAP sendiri pernah mengubah pendirian politik apabila bekerjasama dengan parti yang sebelum ini menjadi seteru politik demi membentuk kerajaan.
“DAP boleh mencari rakan politik pada bila-bila masa demi politik kuasa mereka, tetapi apabila Pas bermuafakat dengan UMNO, ia pula dipersoalkan.
“Apabila Pas mengumumkan sokongan kepada calon BN di beberapa kerusi, beliau pantas bertanya, ‘Mana suara MCA dan MIC?’,” katanya.
Lian Ker berkata, DAP juga pernah bekerjasama dengan Pas walaupun mempunyai perbezaan pendirian berhubung isu negara Islam dan hudud.
Katanya, selepas itu DAP turut membentuk kerajaan bersama UMNO yang sebelum ini sering dikritik dan dilabel sebagai punca pelbagai masalah negara.
Beliau mendakwa slogan “Asalkan Bukan UMNO” yang pernah dibawa DAP akhirnya berubah kepada “Asalkan Berkuasa”.
“Lupakah Anthony Loke dengan megahnya menghalalkan kerjasama atas prinsip “Dulu Lawan , Kini Boleh Jadi Kawan” dalam Dewan Tun Hussein Onn di pusat UMNO?
“Jika DAP boleh mengubah pendirian atas nama strategi politik dan kestabilan, mengapa parti lain tidak boleh membuat pertimbangan politik mereka sendiri?” katanya.
Mengulas mengenai sokongan Pas kepada BN, Lian Ker berkata, parti itu tidak menyertai BN, sebaliknya hanya mengarahkan penyokong mengundi calon BN di kerusi tertentu bagi menghalang kemenangan Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
Sehubungan itu, beliau menggesa Anthony agar tidak bersikap selektif dalam menilai tindakan parti lain dan melihat terlebih dahulu rekod kerjasama politik DAP sebelum mempersoalkan pendirian MCA serta MIC.
Katanya, rakyat mampu menilai konsistensi pendirian setiap parti berdasarkan rekod politik masing-masing. – MalaysiaGazette
















