KUALA PILAH – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua parti politik supaya tidak menjadikan institusi diraja sebagai bahan polemik sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, Malaysia antara negara yang masih mempertahankan sistem raja berperlembagaan dan institusi itu perlu terus dihormati serta tidak diperalatkan demi kepentingan politik.
“Kita boleh bertanding dalam pilihan raya tetapi jangan heret institusi diraja menjadi polemik politik jalanan atau bahan kempen.
“Kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mesti dihormati mengikut semangat Perlembagaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Negeri Sembilan di Dataran Melang di sini malam ini.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, sekiranya terdapat pihak cuba mengeksploitasi isu berkenaan bagi meraih sokongan politik, negara mempunyai undang-undang dan prinsip Perlembagaan yang perlu dipatuhi semua pihak.
Beliau turut menggesa semua parti menjalankan kempen secara matang tanpa menyebarkan fitnah atau memainkan sentimen kaum dan agama.
“Kita boleh berbeza pendapat dan bertempur dalam politik tetapi jangan memfitnah atau menghina orang lain kerana kaum dan agama. Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum dan keharmonian itu mesti dipelihara,” ujarnya.
Menurut Anwar, PH sejak dahulu berpegang kepada prinsip mempertahankan sistem raja berperlembagaan, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta hak orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, komitmen itu bukan perkara baharu kerana ia pernah dimeterai menerusi satu dokumen yang ditandatangani pemimpin Pakatan Rakyat ketika itu termasuk beliau, Lim Kit Siang dan Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Prinsip itu kekal sehingga hari ini. Jangan ada pihak cuba memadamkan fakta sejarah atau memberi gambaran yang tidak benar semata-mata untuk kepentingan politik,” katanya.
Mengulas isu harga petrol dan diesel, Anwar berkata, kerajaan masih menanggung subsidi yang besar bagi memastikan rakyat tidak dibebani kos sara hidup.
Menurutnya, Malaysia masih menawarkan harga petrol yang lebih rendah berbanding beberapa negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), manakala kerajaan membelanjakan kira-kira RM40 bilion setahun bagi subsidi bahan api.
“Kalau wang itu tidak digunakan untuk subsidi, kita boleh bina lebih banyak sekolah, universiti dan lebuh raya. Tetapi kalau harga minyak naik, rakyat juga yang menanggung kesannya,” katanya.
Anwar turut mengakui pelaksanaan penyasaran subsidi diesel mengambil masa kerana kerajaan perlu meneliti implikasi fiskal dan kesannya terhadap rakyat sebelum ia dilaksanakan. -MalaysiaGazette
















