KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai tamparan hebat kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli selepas semua calon parti baharunya, Bersama, gagal memperoleh sokongan sehingga hilang deposit.
Exco AMK, Amira Alias berkata, kegagalan itu membuktikan Rafizi perlu menerima hakikat bahawa tidak semua keputusan politik yang dibuatnya mendapat sokongan rakyat.
Menurut beliau, Rafizi yang sebelum ini dilabel sebagai menteri gagal kini berdepan satu lagi tamparan apabila semua calon parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dipimpinnya hilang deposit pada pilihan raya, membabitkan jumlah keseluruhan dianggarkan RM120,000.
“Ketika menjadi menteri, beliau tidak melakukan apa-apa seperti yang dijanjikan sebelum PRU15 sehingga melekat label menteri gagal.
“Selepas keluar PKR dan tubuhkan parti kancil, usaha tersebut terus gagal apabila semua calon Bersama hilang deposit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Amira berkata, situasi itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada Rafizi bahawa pendekatan politik yang dibawa tidak semestinya diterima oleh rakyat.
“Mungkin sekarang baru Rafizi boleh faham bahawa beliau tidak semuanya betul dan tidak semua yang orang lain buat itu salah,” katanya.
Sebelum ini, Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol mendakwa kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor turut dipengaruhi tindakan Parti Bersama yang didakwa memecahkan undi Pakatan Harapan (PH) sebagai tindak balas terhadap PKR.
Pemimpin DAP, Tony Pua juga mendakwa beberapa kerusi PH seperti Perling, Stulang dan Bukit Batu terjejas susulan pertandingan parti baharu itu.
Mengulas lanjut, Amira berkata, perjuangan politik yang tidak mempunyai hala tuju jelas dan hanya berasaskan rasa tidak puas hati atau dendam tidak akan membawa kejayaan.
Bahkan, dakwanya, pendekatan sedemikian hanya akan menjejaskan reputasi Rafizi dalam landskap politik negara.
“Jadi, bagi mereka terutama anak muda yang ingin bertanding atas tiket Bersama pada PRN atau PRU akan datang, saya nasihatkan agar memikirkan sebaik-baiknya kerana ia melibatkan masa depan yang lebih besar,” katanya. – MalaysiaGazette
















