Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan akan terus memperkukuh pembangunan ekonomi di kawasan sempadan Sabah dan Sarawak dengan negara jiran termasuk Indonesia dan Brunei Darussalam sebagai sebahagian usaha memastikan pembangunan wilayah lebih seimbang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sebelum ini telah memperuntukkan RM1 bilion bagi pembangunan kawasan sempadan Sabah dan Sarawak dengan Indonesia, selain meningkatkan kerjasama ekonomi bersama negara jiran.

Menurut beliau, hubungan pembangunan kawasan sempadan Sarawak-Brunei turut diperkukuh menerusi kerjasama bersama kerajaan negeri Sarawak, khususnya di sekitar Lawas.

“Jalinan kerjasama dari segi pembangunan kawasan sempadan Brunei dan Sarawak itu ditingkatkan dan sebahagiannya dengan peruntukan kerajaan negeri Sarawak sendiri di sekitar Lawas.

“Dan baru-baru ini Sultan Brunei, mendukung penuh termasuk kerjasama yang lebih besar dengan Petronas,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) mengenai sama ada kerajaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi di sempadan Brunei, Indonesia, Filipina dan Malaysia pada masa hadapan.

Anwar berkata, hubungan dua hala dengan Brunei turut menerima perkembangan positif termasuk sokongan Sultan Brunei terhadap usaha memperluas kerjasama ekonomi yang lebih besar, termasuk melibatkan syarikat minyak negara, Petronas.

Selain itu, katanya, kerjasama dengan Indonesia turut dipertingkatkan menerusi pembukaan beberapa laluan baharu serta penambahbaikan kemudahan Pusat Pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

“Kerjasama dengan Indonesia dalam pertemuan terakhir itu jauh lebih ditingkatkan dengan beberapa laluan yang dibuka serta beberapa pusat ICQS dan laluan kastam serta imigresen dipermudahkan,” katanya.

Bagaimanapun, perdana menteri menegaskan, pembangunan kawasan sempadan perlu dilaksanakan secara lebih menyeluruh dengan memastikan semua wilayah mendapat manfaat secara seimbang.

Menurut beliau, pendekatan pembangunan wilayah bukan hanya tertumpu kepada kawasan tertentu, sebaliknya perlu mengambil kira keperluan Sabah, Sarawak dan kawasan sempadan lain sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast